NGEH, gambar fail. FOTO NSTP
NGEH, gambar fail. FOTO NSTP
FMT

Petaling Jaya: Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham memaafkan pelaku di sebalik tercetusnya kebakaran di kediamannya pagi tadi sehingga merosakkan tiga kenderaan, lapor FMT.

Ngeh ketika bercakap pada sidang media berkata, beliau percaya pelaku terbabit didorong mempercayai perkara tidak benar selain dihasut melakukan perbuatan sedemikian.

"Saya memaafkan mereka yang mahu membakar kereta saya, rumah saya, dan ingin mencederakan keluarga saya.

"Sebagai peguam dan sudah lama berkhidmat dalam perkhidmatan awam, saya tahu terbabit dalam jenayah (pelaku) bukanlah kehidupan membahagiakan.

"Saya menjemput mereka berubah dan menjadi warganegara yang baik. Ahli keluarga anda menyayangi anda, tetapi apabila anda terbabit jenayah, anda mengguris mereka," katanya pada sidang media.

Ngeh, pemimpin DAP Perak, menambah beliau tidak terbabit pertelingkahan dengan mana-mana pihak, mengekalkan tahap profesionalisme sebaik mungkin sepanjang berada dalam politik.

"Satu-satunya penyebab yang saya syak serangan ini berlaku kerana kenyataan media yang saya keluarkan pada 28 Disember tahun lalu," katanya.

Ngeh mengundang kontroversi dalam kenyataan media tersebut, apabila mencadangkan pakar Perlembagaan bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dun Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Cadangan dikemuka juga dikritik pelbagai pihak, dengan pemimpin Pas dan Bersatu menuduhnya sebagai campur tangan hal ehwal Islam. Pemimpin Umno juga menyatakan cadangan Ngeh 'dangkal' dan 'tidak berasas'.

Sambil menggambarkan cadangannya diputar belit oleh ahli politik untuk mencetuskan ketakutan dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam, Ngeh berkata beliau memutuskan untuk memohon maaf dan menarik balik cadangan tersebut.

Terdahulu, China Press melaporkan kediaman Ngeh di Ayer Tawar, Perak, terbakar pada awal pagi tadi.

Ngeh ketika bercakap dengan akhbar berbahasa Cina itu berkata, beliau dan isteri sedar akan kejadian selepas dikejutkan dengan deringan loceng pintu yang memaklumkan kejadian kebakaran.

Ketua Polis Perak Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya sedang menjejak pihak bertanggungjawab mencetuskan kebakaran di kediaman Ngeh, susulan penemuan bom petrol (molotov cocktail) di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 2:52 PM