DATUK Seri Amirudin Shari. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Amirudin Shari. FOTO arkib NSTP
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham sewajarnya meneliti semula kapasiti pembicaraan beliau khususnya berhubung isu-isu hal ehwal agama Islam, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin berkata, sebagai pengamal undang-undang berpengalaman, sewajarnya pandangan dan komentar berkenaan tidak ada sebarang keperluan untuk dipertimbang malah tiada kepentingan dilontar sebagai sebuah topik perbincangan.

"Pengurusan agama Islam menjadi prerogatif khusus sesebuah negeri melalui payung Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, sewajarnya difahami tanpa sebarang dakwa-dakwi yang memungkinkan penyelewengan tafsir berlaku sehingga mencetus keresahan yang tidak perlu.

"Ahli Parlimen Beruas sewajarnya selaku ahli politik berpengalaman, malah pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, wajar meneliti semula kapasiti pembicaraan beliau khususnya berhubung isu-isu hal ehwal Agama Islam, sementelah beberapa kali polemik yang berlegar pada skop sama dicetuskan beliau terdahulu.

"Malah ini juga membebani parti beliau yang pada ketika ini berada pada tahap terbaik untuk sama-sama memperjuangkan agenda Malaysia Madani melalui Kerajaan Perpaduan yang jelas dan tuntas meletakkan agama Islam di tahap tertinggi sebagai pembuktian komitmen Pakatan Harapan (PH) melalui kombinasi strategik bersama Barisan Nasional (BN) untuk menjadi perisai pertahanan agama Islam yang lebih baik berbanding mana-mana entiti terdahulu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan seluruh rakyat turut menjunjung kasih atas kebijaksanaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui titah terkini baginda sebagai respon balas kepada gesaan ahli parlimen berkenaan berhubung keanggotaan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-undang Islam.

Katanya, usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang istiqamah dan tegas dalam memperihalkan perkara berkaitan agama Islam dan hal ehwal Melayu perlu disambut dengan adab, bijak dan cakna oleh setiap ahli politik khususnya ahli-ahli Parlimen.

"Titah baginda Sultan Selangor hadir tepat masanya sekali gus perlu menjadi titik noktah kepada mana-mana ahli politik yang gagal memahami realisme politik Malaysia dalam cakupan yang menyeluruh," katanya.

Semalam, Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam supaya menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Baginda bertitah demikian susulan cadangan Ngeh supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (Dun) menggubal undang-undang Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 5:57 PM