HANTARAN yang dimuat naik Ismanira Abdul Manaf di IG.
HANTARAN yang dimuat naik Ismanira Abdul Manaf di IG.
Suhanna Iskandar


Kuala Lumpur: "Walau apa pun yang berlaku, ada kenangan tidak boleh diganti." Demikian hantaran terbaharu Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Instagram (IG) miliknya.

Dalam hantaran itu, Ismanira berkongsi satu video kenangan suaminya bermain bersama 'anak syurganya' itu di taman.

Video berdurasi 30 saat itu menggambarkan perasaan rindu dengan memori mereka bermain bersama dan menyentuh perasaan pengguna IG lain.

Seorang pengikut menggunakan akaun izzchocolatte menulis di ruangan komen "saat itu mungkin telah berakhir tetapi kenangan itu kekal selamanya".

Pemilik akaun eynaamustafa pula menulis "sakitnya menahan rasa rindu. Semoga diberi kekuatan untuk mummy Zayn."

Terdahulu, Zayn Rayyan, 6, ditemukan meninggal dunia di saliran air kira-kira 200 meter dari Apartmen Idaman, Damansara Damai di Petaling Jaya, 6 Disember lalu, selepas dilaporkan hilang.

Mangsa kemudiannya disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemukan kesan kecederaan pada leher dan badan.

Setakat ini, polis belum menemui petunjuk kukuh bagi mencari pembunuh Zayn Rayyan dengan operasi mencari bukti masih diteruskan di sekitar Apartmen Idaman dan tiada mana-mana individu boleh dikaitkan dalam kes bunuh kanak-kanak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 10:08 AM