Dr Mohd Zin (kiri) menyerahkan sumbangan wang tunai kepada Khalid sambil disaksikan Mas Imran (dua dari kanan) dan Mohd Rozi.
Dr Mohd Zin (kiri) menyerahkan sumbangan wang tunai kepada Khalid sambil disaksikan Mas Imran (dua dari kanan) dan Mohd Rozi.
Othman Mamat

Kaherah (Mesir): "Saya lihat sendiri kekejaman Zionis apabila mereka menembak mati seorang warga Palestin yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan akibat dibom oleh tentera mereka.

"Dalam kejadian itu, kira-kira 100 orang yang berada dalam bangunan dibom itu terperangkap dan seorang daripada mereka ditembak oleh tentera Israel," kata wartawan, Khalid Sultan, 30.

Beliau yang bertugas dengan Independent Television News (ITN) berpangkalan di Gaza turut cedera parah dalam kejadian itu apabila kedua-dua kaki dan tangan kirinya patah, manakala pendengarannya terjejas 50 peratus dalam pengeboman yang berlaku di Jabaliah, Gaza, kira-kira sebulan lalu.

Mengimbas insiden itu, Khalid yang kini mendapat rawatan di bandar raya ini berkata, keadaan di Gaza sekarang sangat teruk akibat dibom bertalu-talu oleh rejim Zionis, termasuk ke atas sebuah bangunan yang mempunyai 100 penghuni sedang berlindung di dalamnya.

"Ambulans yang tiba selepas itu hanya boleh mengambil lima orang mangsa (pada satu masa). Untuk menyelamatkan 100 mangsa memerlukan masa sehingga satu hari.

"Ketika itulah saya lihat dengan mata kepala sendiri seorang mangsa yang terperangkap di bawah bangunan ditembak oleh tentera Israel," katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan wang tunai daripada Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) di rumahnya di Dokki, Giza Goverorate di sini, hari ini.

Sumbangan itu disampaikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar diiringi Pengurus Besar Pasar Raya Econsave Cash & Carry, Mas Imran Adam dan Pengurus MyCARE Johor Rozi Abdul Ghani.

MyCARE dan Econsave kini dalam Misi Kemanusiaan Musim Sejuk di Syria, Yaman dan Palestin yang bermula 18 Disember lalu hingga 30 Disember ini.

Bapa kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu berkata, kejadian itu berlaku pada 3 petang, 33 hari lalu ketika sedang membuat liputan berita bersama tiga rakan setugas.

Menurutnya, akibat kejadian itu dia dihantar ke Hospital Syifa' di Gaza tetapi disebabkan kemudahannya yang terhad terpaksa mencari hospital lain.

"Saya, isteri dan anak tiada pilihan kecuali terpaksa naik kereta keldai selama empat jam untuk menyeberangi sempadan Rafah, Mesir. Ketika keluar dari Palestin, saya mendapat tahu rumah saya di Jabaliah musnah dibom rejim zionis.

"Saya tidak tahu apa nasib keluarga dan saudara mara saya selepas rumah kami dibom. Saya hanya mengikuti perkembangan di Palestin melalui berita dan tidak tahu keadaan mereka sekarang.

"Proses kami menyeberang keluar dari Palestin ke sempadan Rafah mengambil masa kira-kira 14 jam," katanya.

Beliau yang sudah berkhidmat dengan media sejak 2008 tidak pasti bilangan pengamal media yang maut dalam konflik Palestin-Israel itu tetapi difahamkan kira-kira 80 sehingga 100 terkorban.

Ditanya mengenai perasaannya yang berjaya melarikan diri ke sini, beliau mengakui tidak seronok dan hatinya masih lagi berada di Palestin malah bimbangkan nasib ahli keluarganya.

"Saya berterima kasih dan sangat sayang kepada rakyat dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dari Malaysia yang sentiasa membantu rakyat Palestin," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 2:35 PM