KEDIAMAN rosak teruk susulan serangan tentera Israel. FOTO Reuters
KEDIAMAN rosak teruk susulan serangan tentera Israel. FOTO Reuters
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Sebanyak 58 kem perlindungan 'friendship shelter' sumbangan rakyat Malaysia di Gaza, Palestin musnah dibom tentera Israel.

Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam berkata, siri serangan itu turut mengorbankan seorang wanita dan lima lagi mengalami kecederaan teruk.

"Kem perlindungan ini dibina oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dengan kerjasama Pasaraya Econsave musnah dibedil bom rejim Israel pada 8 Jun lalu.

"Sebahagian daripada kem perlindungan ini menempatkan 95 keluarga yang mana 58 khemah musnah dalam serangan itu.

" Dilaporkan seorang wanita terkorban dan lima lagi mengalami kecederaan teruk," katanya.

Menurutnya, kem yang terletak di An Nusairat tengah Gaza itu antara kem perlindungan yang masih boleh diduduki penduduk Gaza selepas tempat perlindungan terbesar di Rafah menjadi sasaran utama rejim Israel.

"Pihak Econsave dan MyCARE memohon rakyat Malaysia untuk terus menyumbang kepada rakyat Gaza," katanya.

Kem ini siap dibina pada 27 Mei lalu yang mana pihak Econsave menyumbang RM120,000 untuk pembinaan khemah dan RM250,000 untuk tandas longkang, lampu, telaga air, tangki air dan saluran pembuangan kumbahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 11:43 AM