ASKAR zalim Israel didapati bersuka ria di hadapan bangunan Wakaf Produktif Muslim Care Malaysia (MCM) yang diletupkan mereka sebelum ini.
ASKAR zalim Israel didapati bersuka ria di hadapan bangunan Wakaf Produktif Muslim Care Malaysia (MCM) yang diletupkan mereka sebelum ini.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: 'Menyalak' gembira di hadapan bangunan Wakaf Produktif Muslim Care Malaysia (MCM) dibina khsus untuk penduduk Palestin di Semenanjung Gaza hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Itu sifat biadab ditunjukkan sekumpulan tentera Israel yang meraikan kejayaan selepas menceroboh dan merosakkan sebahagian besar bangunan serta kediaman penduduk Palestin di selatan Gaza.

Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya mendapat perkhabaran sedih apabila bangunan Wakaf Produktif MCM dibina khusus untuk kegunaan rakyat Gaza mengalami kerosakan teruk akibat dibedil tentera Zionis Israel.

Beliau berkata, mesej dan gambar kemusnahan itu dikongsikan wakil MCM di Brazil, Hussein Abu Marzouq melalui aplikasi WhatsApp jam 2 pagi kelmarin.

"Bangunan wakaf produktif ini berharga kira-kira RM5 juta. Ia mula dibina pada 2021 hasil kerjasama MCM dan Kementerian Wakaf Palestin.

"Kementerian Wakaf Tanah dan MCM berjaya membina bangunan itu hasil sumbangan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.

"Bangunan itu sudah siap dibina beberapa bulan lalu, namun belum digunakan. Kami merancang untuk merasmikan bangunan Wakaf Produktif MCM pada Oktober lalu. Malangnya hasrat itu terhalang susulan serangan Israel terhadap Gaza bermula 7 Oktober lalu," katanya.

Beliau berkata, bangunan di atas tanah seluas 2635 meter persegi itu berpotensi menjadi tumpuan ramai dan memberi manfaat besar kepada pembangunan ekonomi di Gaza.

"Lot premis di dalam bangunan Wakaf Produktif dirancang mahu disewakan kepada peniaga tempatan dan kutipan sewa bulanan diperoleh digunakan bagi membantu keperluan rakyat Gaza.

"Kin, semua empat premis hasil usaha MCM musnah dibedil tentera Israel. Antaranya Masjid Muhammed Al Amin, ruang tambahan untuk keselesaan orang ramai di kompleks imigresen Lintasan Rafah, pusat fisioterapi Dr Siti Hasmah yang dibina dan diusahakan bersama MCM, Perdana Globa Peace Foundation (PGPF) dan My Care.

"Terbaru Kompleks Wakaf Produktf MCM rosak teruk dibedil tentera Israel," katanya.

Sementara itu, Ahmed Abu Ayesh yang juga Pengurus Muslim Care Malaysia-Palestin memaklumkan usahanya membantu penduduk Gaza melalui bantuan makanan siap dimasak tetap diteruskan.

Dia yang sebelum ini cedera akibat serangan bom tentera Israel memberitahu mengalami kesukaran untuk menghantar maklumkan susulan masalah komunikasi yang disekat rejim Zionis.

"Selepas 2 minggu, saya bangkit semula untuk menyediakan makanan panas untuk rakyat Palestin kelaparan yang memerlukan bantuan ketika musim sejuk ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 4:17 PM