TERTUDUH, Muhammad Syaffiq didenda RM3,500 selepas mengaku bersalah memiliki pistol tiruan dan vest polis, awal bulan ini. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
TERTUDUH, Muhammad Syaffiq didenda RM3,500 selepas mengaku bersalah memiliki pistol tiruan dan vest polis, awal bulan ini. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pekerja penghantaran didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, tadi, atas kesalahan memiliki pistol tiruan dan vest memiliki lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa kebenaran sah, awal bulan ini.

Hukuman diputuskan Majistret Mazana Sinin, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Muhammad Syaffiq Abusah, 26, serta menimbangkan hujah pendakwaan serta fakta kes.

Dalam penghakimannya itu beliau memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol palsu di sebuah bengkel kenderaan di Taman Mayfair, Klebang Besar, di sini, pada jam 6 petang, 9 Disember lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau dengan denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Mengikut pertuduhan kedua, dia tanpa kebenaran yang sah didapati memiliki peralatan yang dibekalkan kepada pegawai polis iaitu sehelai vest berlambang PDRM di sebuah rumah di Jalan Cahaya 3 Taman Tanjung Minyak Perdana di sini, pada jam 11.50 malam tarikh sama.

Susulan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 89(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 94 akta sama, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian memohon hukuman setimpal dikenakan, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda ringan kerana menanggung ibu.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mazana mengenakan hukuman denda RM3,000 atau enam bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan denda RM500 atau sebulan penjara bagi pertuduhan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 3:37 PM