Melaka: Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara 33 bulan, dua sebatan serta denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini , semalam, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menipu, pecah amanah serta memiliki seragam penjawat awam.

Zulkifli Atan, 37, dari Batu Caves, Selangor membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Majistret Norina Maludin selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdayakan Izalusri Sulaiman, 41, dengan menawarkan pengeluaran modal untuk katering membekalkan sate yang ditempah Jabatan Imigresen Melaka pada April 2015 yang tidak wujud hingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM1,500.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di restoran di Jalan Plaza Pandan Malim, di sini, jam 2.13 petang pada 3 April lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sepuluh tahun dan denda serta sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah dengan mengaku diri sebagai seorang yang diamanahkan menggunakan kereta jenis Proton Saga Aeroback milik Baba Sait, 72.

Kesalahan itu dilakukan di Tanjung Keling di sini pada 22 Julai 2011 lalu dan dia didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sepuluh tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki seragam penjawat awam iaitu satu beret berwarna hitam tertera lambang, satu tongkat pegawai kanan dan sepasang uniform pegawai kanan yang semuanya tertera lambang Penjara Malaysia.

Bagi kesalahan itu, tertuduh melakukannya pada jam 5.30 petang 4 April lalu di Tanjung Kling dan dia didakwa mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM400 atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon kepada mahkamah agar mengenakan hukuman ringan dan berjalan serentak bermula tarikh ditangkap.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Foo Yong Luk merayu kepada mahkamah agar mengenakan hukuman yang berat terhadap tertuduh.

Norina memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 10 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 9:03 AM