Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Hanya linangan air mata membasahi pipi seorang wanita warga emas selepas menerima sumbangan menerusi Bakul Makanan Parlimen Tanjong Karang, di rumahnya di Kampung Haji Razali, di sini, hari ini.

Siti Aisah Kadiran, 72, berkata, tiada kata-kata yang mampu menggambarkan kesyukuran apabila menerima sumbangan berkenaan.

"Saya diserang angin ahmar pada 2017, dan sejak itu pergerakan saya terbatas apabila bahagian kiri badan tidak dapat digerakkan.

"Empat bulan selepas itu, tulang pinggul kiri pula patah kerana terjatuh di ruang tamu.

"Malah, saya sekali lagi diuji apabila terjatuh sekali lagi 2019, menyebabkan tulang pinggul dan tangan kanan patah menyebabkan saya tidak boleh bergerak langsung," katanya ketika ditemui, hari ini.

Siti Aisah berkata, ketika ini dua anak lelakinya, Abdul Rashid @ Mazni Misdi, 52 dan Mohd Yazid Misdi, 46, menguruskan keperluan hariannya.

Seorang lagi penerima, Ilham Fikri Mohd Kafli, 16, berkata, sumbangan bakul makanan itu sangat bermakna buat dia sekeluarga selepas bapanya, Mohd Kafli Arsad, 44, terlantar selama setahun akibat penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Noh Omar (tengah) menziarahi wanita warga emas, Siti Aisah sambil menyerahkan sumbangan bakul makanan di rumahnya di Kampung Haji Razali, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Noh Omar (tengah) menziarahi wanita warga emas, Siti Aisah sambil menyerahkan sumbangan bakul makanan di rumahnya di Kampung Haji Razali, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

"Sebelum ini, ayah bekerja sebagai tukang kebun. Tetapi, selepas jatuh sakit, ibu (Raha Marni, 46) pula menggalas tanggungjawab itu.

"Ibu bekerja sebagai jururawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Dia akan berulang dari rumah ke tempat kerja mengikut jadual penggiliran kerja.

"Saya harap ayah sembuh dan dapat berjalan seperti sedia kala. Terima kasih juga kepada Tan Sri (Noh) yang menyumbangkan bakul makanan dan prihatin terhadap keadaan ayah," katanya yang menetap di Kampung Sungai Tengi Kiri.

Sementara itu, Noh berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan di atas pengagihan RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen untuk bantuan bakul makanan.

Beliau berkata, setiap bakul makanan bernilai RM100 diagihkan kepada mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 bermula Mac tahun lalu, kami sudah memberi bantuan kepada 36,500 isi rumah.

"Kami ada beberapa peringkat. Mula-mula semua penduduk dapat (bantuan), diikuti ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), dan golongan asnaf fakir miskin serta mereka yang terputus bekalan makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 4:47 PM