PENDUDUK kampung menggunakan bot untuk merentasi sungai selepas jambatan Kampung Pasir Jering runtuh. FOTO Bernama
PENDUDUK kampung menggunakan bot untuk merentasi sungai selepas jambatan Kampung Pasir Jering runtuh. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Krai: Plat besi kerangka jambatan yang runtuh akibat banjir di Kampung Pasir Jering dekat Chenulang, di sini, berjaya diangkat petang semalam, kata Ketua Jajahan Kuala Krai Azi Rahimee Mohamed.

Beliau yang juga Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kuala Krai berkata, jambatan itu akan dibaiki segera dan Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi teknikal pula, akan memantau keadaan semasa di tapak kejadian bagi memastikan struktur jambatan itu selamat digunakan oleh penduduk.

"Petang semalam (18 Disember), kita menerima perkembangan positif, apabila plat besi yang bersekali dengan kerangka jambatan yang tercabut akibat banjir itu, berjaya diangkat sekali gus akan memudahkan serta mempercepatkan usaha pihak JKR dan teknikal membaiki semula jambatan itu.

"Selain itu, laporan dan cadangan teknikal akan disediakan oleh JKR Kuala Krai kepada Ketua Jajahan, bagi mendapatkan peruntukan pembaikan daripada Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan," katanya dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Azi Rahimee berkata, hasil perbincangan yang dilakukan bersama beberapa agensi terbabit seperti JKR, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) serta pimpinan setempat, tidak memperakukan pembinaan jambatan segera secara gotong-royong kerana isu jaminan keselamatan.

"ATM juga tidak dapat membina jambatan terapung atas faktor keselamatan, disebabkan aliran deras dan risiko hujan akan kembali berlaku menyebabkan bahan terbabit tercabut dan dihanyutkan air.

"Oleh itu, antara langkah segera yang kita lakukan ialah memberi bantuan dalam bentuk makanan mentah, yang dihantar secara berkala kepada lebih kurang 500 penduduk (120 ketua isi rumah) yang terputus hubungan sehingga isu ini dapat diatasi, selain APM menempatkan bot dan anggotanya untuk menjaga keselamatan mereka," katanya.

Ahad lalu, kira-kira 500 penduduk daripada empat kampung dekat Chenulang, di sini, terputus hubungan apabila sebuah jambatan runtuh akibat banjir.

Ia membabitkan Kampung Pasir Jering, Dusun Ban, Dusun Bunut dan Batu Pagar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 4:34 PM