Keadaan banjir di Masjid Mukim Chenulang , Kuala Krai pada pagi hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Keadaan banjir di Masjid Mukim Chenulang , Kuala Krai pada pagi hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Hujan lebat yang berterusan sejak malam tadi menyebabkan tingkat bawah Masjid Mukim Chenulang di sini, ditenggelami air akibat limpahan air Sungai Pertang.

Tok Siak Masjid Mukim Chenulang Mohd Adnan Mat Husin berkata, hujan lebat sejak 8 malam tadi menyebabkan pekarangan masjid mula dinaiki air, namun pada 7 pagi air mula memasuki tingkat bawah masjid.

Menurutnya, ketika itu terdapat 15 jemaah yang baharu sahaja selesai menunaikan solat Subuh dan lebih kurang lima minit selepas itu, air hampir memasuki bahagian dalam masjid di tingkat bawah dan kami segera berkemas.

"Nasib baik kami sempat mengemas kesemua peralatan yang diletakkan di tingkat bawah untuk dipindahkan ke tingkat atas.

"Masjid Mukim Chenulang digunakan oleh penduduk membabitkan empat kampung iaitu Kampung Chenulang, Kampung Limau Madu, Kampung Dusun Bang, Kampung Pasir Jering, dan Kampung Kebun Pisang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pada pagi ini paras air mulai surat sebanyak 0.61 meter, namun masih lagi hujan ketika ini dan jika ia berterusan mungkin paras air akan kembali meningkat naik.

"Saya berharap hujan kembali reda kerana bimbang tragedi bah kuning yang berlaku pada 2014 kembali berulang yang menenggelamkan hampir 80 peratus masjid hingga menyebabkan kesemua peralatan rosak," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, setakat ini jalan utama di daerah itu masih lagi boleh dilalui oleh semua kenderaan.

"Bagaimanapun, beberapa jalan kampung sudah ditenggelami air antara paras 0.5 hingga 1.5 meter membabitkan Jalan Simpang Keroh ke Pasir Gajah, Jalan Kampung Mia ke Kampung Ulu Manah, Jalan Kampung Bukit Sireh ke Kuala Nal, Jambatan Kampung Belanga Pahi, Jalan Hadapan Risda Kampung Bedal dan Jalan Chenulang ke Kampung Pisang dan Kuala Pertang.

"Setakat pagi ini, terdapat satu keluarga membabitkan enam orang sudah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Lama Kampung Keroh selepas kediaman mereka dinaiki air.

"Pihak kami akan sentiasa melakukan pemantauan dan kesemua anggota serta pasukan penyelamat berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 11:55 AM