VIDEO tular menunjukkan pacuan empat roda melanggar motosikal
VIDEO tular menunjukkan pacuan empat roda melanggar motosikal
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Pemandu pacuan empat roda yang tular di media sosial kerana melanggar motosikal ditunggang empat beranak, didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Majistret Fatin Dayana Jalil, memutuskan hukuman berkenaan terhadap pereka grafik, Mohammad Harith Ismail, 22, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan, jika gagal membayar denda terbabit.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kenderaan itu secara tidak cermat di Lebuhraya Besraya dari arah Sungai Besi ke Balakong, 12.30 tengah hari, semalam.

Pendakwaan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntuk hukuman denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan boleh dipenjara tidak lebih 12 bulan, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, R Harvind, memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal atas kesalahan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Bagaimanapun, Mohammad Harith yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan kerana tidak sengaja melakukan kesalahan itu.

"Saya bukan orang sini (berasal dari Kuala Lumpur). Jadi, tidak tahu selok-belok jalan di lokasi kejadian.

"Saya juga tidak melarikan diri atau meninggalkan mangsa, sebaliknya terus hantar mereka ke hospital," katanya.

Media melaporkan tular satu rakaman kamera papan pemuka atau 'dashcam' menunjukkan sepasang suami isteri yang menunggang motosikal bersama dua anak perempuan berusia lima dan tujuh tahun dilanggar sebuah kenderaan yang menukar laluan secara tiba-tiba.

Kejadian itu menyebabkan pasangan itu patah jari kaki dan luka di betis, manakala anak mereka cedera pada kepala, retak tulang pipi dan patah jari kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 2:50 PM