GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Penghantar makanan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan membakar 11 motosikal dan empat skuter elektrik di kawasan parkir hadapan Suria KLCC, minggu lalu.

Bagaimanapun, Azril Kamarunzaman, 34, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan api iaitu membakar kenderaan terbabit di parkir motosikal di hadapan Suria KLCC, Jalan Ampang pada 3.30 petang, 13 April lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Amalina Abu Hanifah menawarkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Azril, Muhamad Ridzuan Umar merayu supaya jumlah ikat jamin itu dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri serta ibu bapanya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pada 13 April lalu, media melaporkan 13 motosikal dan empat skuter elektrik terbakar di kawasan parkir pusat beli-belah Suria KLCC.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan selepas dikesan berada berhampiran lokasi kejadian sebelum kebakaran berlaku berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 1:37 PM