HOSPITAL Melaka. FOTO Arkib NSTP
HOSPITAL Melaka. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Melaka: Situasi terkini Covid-19 di Melaka masih terkawal dan tidak memerlukan langkah awal pencegahan berdasarkan penggunaan ventilator dan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, justeru, rakyat tidak perlu bimbang atau panik kerana Jabatan Kesihatan negeri sentiasa memantau situasi terkini kes Covid-19 di negeri itu.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana kita akan menyambut Tahun Melawat Melaka (TMM 2024) dan sekiranya perlu ambil langkah awal pencegahan, kita akan lakukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Bersama Warga Pendidik Negeri Melaka 2023 di sini, malam tadi.

Ab Rauf berkata, beliau yakin situasi penularan Covid-19 di Melaka tidak akan menjejaskan segala persiapan dan sambutan TMM 2024.

Sebelum ini, media melaporkan kes baharu Covid-19 di Melaka meningkat kepada 534 kes pada Minggu Epidemiologi (ME) 48 yang berakhir pada 2 Disember lepas berbanding 268 kes pada ME 47.

Sebanyak 458 kes aktif sedang menerima rawatan dan terdapat satu kluster aktif dilaporkan iaitu Kluster Paya Rumput Jaya pada ME 48 yang juga kluster pendidikan dan dijangka akan tamat pada 25 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 10:23 AM