GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang hilang pendapatan kerana diberhentikan kerja atau pendapatan terjejas, boleh memohon untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman selama tiga bulan.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, peminjam terbabit perlu mengemukakan permohonan secara dalam talian di www.ptptn.gov.my/penangguhanpkp3.0 mulai 10 Jun sehingga 31 Ogos ini.

Malah, katanya tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan ketika permohonan.

Katanya, penangguhan bayaran balik selama tiga bulan itu akan bermula pada bulan permohonan diluluskan, dan dua bulan lagi di antara Jun sehingga Oktober.

"Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui emel dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan.

"Peminjam diingatkan untuk mengemaskini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini bagi memastikan keputusan berkenaan kelulusan permohonan penangguhan sampai kepada mereka," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengumumkan inisiatif penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN secara bersasar kepada mereka yang layak selama tiga bulan.

Ahmad Dasuki berkata, PTPTN menyambut baik inisiatif itu dan komited memastikan ia dilaksanakan dengan baik bagi memastikan peminjam mendapat manfaat.

"Keputusan ini menunjukkan kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kesukaran yang ditanggung oleh peminjam PTPTN.

"Diharapkan inisiatif ini dapat membantu mereka menguruskan kewangan dengan lebih baik dan meringankan beban akibat terkesan dengan pandemik Covid-19," katanya.

Mengenai peminjam yang tidak terkesan pula katanya, mereka boleh meneruskan pembayaran balik pinjaman melalui saluran yang disediakan.

Katanya, PTPTN mengucapkan terima kasih serta merakamkan setinggi penghargaan kepada peminjam yang terus komited membuat bayaran balik pinjaman demi kelangsungan pembiayaan PTPTN kepada pelajar lain pada masa akan datang.

Untuk maklumat dan sebarang pertanyaan lanjut, peminjam boleh menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000 setiap Isnin hingga Jumaat jam 9 pagi hingga 5 petang atau melayari laman web PTPTN di www.ptptn.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Jun 2021 @ 3:25 PM