Mohd Faizal menunjukkan kawasan sawah di Terachi Kuala Pilah yang ditanam beras jenama Seri Menanti. Foto Mohd Amin Jalil
Mohd Faizal menunjukkan kawasan sawah di Terachi Kuala Pilah yang ditanam beras jenama Seri Menanti. Foto Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Kuala Pilah: Beras pertama Seri Menanti akan dijual pada harga RM2 sekilogram dan RM6 bagi tiga kilogram pada Pesta Bola Ngocha 2023 di Stadium Bola Ngocha Kampung Budaya Terachi, Sabtu depan.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap, berkata sebanyak 2,500 beras keluaran Negeri Sembilan itu akan dijual dan semua hasil jualan disumbangkan kepada Tabung Prihatin Palestin Kerajaan Negeri Sembilan.

"Sekiranya 2,500 paket itu habis terjual baru kita akan pasarkan dengan kuantiti lebih banyak kepada orang ramai.

"Persiapan sedang dibuat dan semua beras berkenaan sudah dibungkus dan dijual dengan harga istimewa sempena perasmian di bawah harga subsidi," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, keluaran beras berkenaan membabitkan tanaman padi seluas 20.2 hektar di Terachi di sini dan mampu menghasilkan 90 tan beras Super Special Tempatan (SST).

Beliau berkata, projek tanaman padi itu bukan sahaja bagi memenuhi keperluan beras di Negeri Sembilan tetapi juga membantu merancakkan lagi sektor agropelancongan khususnya di Kuala Pilah.

"Sebelum ini padi yang dikeluarkan di Negeri Sembilan dihantar ke kilang di Melaka untuk diproses, namun pembungkusan menggunakan jenama beras sedia ada di pasaran dan tiada identiti Negeri Sembilan.

"Melalui jenama Seri Menanti ini, kita yakin beras ini akan mendapat sambutan orang ramai," katanya.

Sementara itu, Mohd Faizal berkata, Pesta Bola Ngocha 2023 akan berlangsung pada 16 dan 17 Disember ini dan turut menyediakan pelbagai acara menarik termasuk ngoca ikan, panjat tiang licin, basikal titi dan tangkap itik.

"Terdapat juga persembahan menarik daripada residen artis Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, Kuntum Band, buskers tempatan, Ambush Band dan Jasa Band," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 4:18 PM