Dr Noor Hisham meluangkan masa menjadi vaksinator kepada penduduk Seri Menanti, Negeri Sembilan. FOTO FB NOOR HISHAM ABDULLAH
Dr Noor Hisham meluangkan masa menjadi vaksinator kepada penduduk Seri Menanti, Negeri Sembilan. FOTO FB NOOR HISHAM ABDULLAH
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kesibukan dalam menjalankan tugas harian mengawal penularan Covid-19 di negara ini tidak menghalang Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meluangkan masa menjadi vaksinator dengan memberikan suntikan vaksin kepada penduduk Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Menerusi perkongsian gambar di laman Facebooknya semalam, Dr Noor Hisham dilihat menunjukkan picagari sebelum menyuntik beberapa individu yang hadir di Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB) kendalian Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Katanya, PPVB Seri Menanti itu diwujudkan khas bagi penduduk Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan bagi mempercepatkan pemberian vaksin di kawasan berkenaan.

Menurutnya, program PPVB Seri Menanti di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu sudah bermula sejak Isnin lalu hingga esok dan menyasarkan 80 peratus penduduk atau 2,500 individu akan diberikan suntikan vaksin bagi dos pertama.

"PPVB sebegini bertujuan untuk menyediakan akses yang lebih luas kepada masyarakat luar bandar untuk mendapatkan vaksin terutamanya bagi mereka yang masih belum mendaftar untuk vaksinasi di bawah PICK atau belum menerima tarikh temujanji melalui aplikasi MySejahtera.

"Sehingga 28 Julai, seramai 1,728 penduduk di sekitar Seri Menanti sudah divaksinasi melalui dua kaedah penyampaian iaitu pusat pemberian vaksin satelit di Seri Menanti Resort bagi individu yang stabil.

"Dan kaedah kedua ialah menerusi lawatan rumah ke rumah dalam kawasan Seri Menanti bagi pesakit yang terlantar di rumah atau warga emas, orang kelainan upaya (OKU) yang tiada kemampuan fizikal atau mental untuk hadir ke PPV," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, program berkenaan turut mendapat kerjasama HCTM Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pusat Pemberian Vaksin Institut Pengajian Tinggi, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, bantuan turut diberikan oleh Pejabat Daerah Kuala Pilah, pihak berkuasa tempatan, pemimpin masyarakat tempatan, ketua kampung, Polis Diraja Malaysia dan beberapa agensi berkaitan.

"Jutaan terima kasih diucapkan kepada kesemua sukarelawan, petugas dan pemimpin masyarakat tempatan yang memberikan kerjasama baik dalam menjayakan program ini.

"Penghargaan khusus diberikan kepada pihak Seri Menanti Resort yang membenarkan penggunaan fasiliti hotel sepanjang program secara percuma.

"Bagi mengatasi cabaran liputan internet yang terhad di kawasan luar bandar pula, sebuah syarikat telco swasta sudi menyediakan perkhidmatan internet demi kelancaran pengoperasian PPVB ini tanpa sebarang caj.

"Semoga segala usaha ini akan dapat membantu negara dalam mencapai sasaran liputan imunisasi kelompok dengan secepat mungkin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 2:45 PM