YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Ibni Almarhum Tengku Besar Mahmud mengacau dodol sebagai simbolik sambutan Mantai semalam. FOTO MOHD AMIN JALIL
YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Ibni Almarhum Tengku Besar Mahmud mengacau dodol sebagai simbolik sambutan Mantai semalam. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Kuala Pilah: Perkampungan Budaya Terachi di sini, yang di naik taraf dengan beberapa kemudahan termasuk restoran, surau dan tandas serta landskap dan tempat letak kereta yang luas akan dijadikan destinasi pelancongan baharu di daerah ini.

Kerajaan negeri yakin perkampungan budaya itu mampu menggamit kedatangan pengunjung terutama dari luar negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kedudukan perkampungan budaya itu yang terletak di tepi laluan utama memudahkan orang ramai dan pengunjung terutama dari luar negeri ini untuk singgah.

Katanya, daerah ini juga bukan sahaja terkenal dengan adat dan warisan malah mempunyai lokasi tarikan ekopelancongan seperti Hutan Rekreasi Ulu Bendul dan Gunung Angsi yang sering menjadi tempat aktiviti mendaki.

"Di Perkampungan Budaya Terachi ini, masyarakat bukan sahaja dapat menikmati makanan tradisional Kuala Pilah sebaliknya lokasi ini juga menjadi satu-satunya tempat khusus untuk aktiviti 'mengoca' dan bola sepak sawah.

"Kerajaan negeri berhasrat menganjurkan Pesta Mengoca (menangkap ikan dan bermain bola di sawah) yang akan diadakan selama dua hari bermula 11 September depan.

"Aktiviti tahunan ini sepatutnya dijalankan pada tahun lalu tetapi tertangguh kerana penularan wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program santapan bersama Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Ibni Almarhum Tengku Besar Mahmud di Perkampungan Budaya Terachi, di sini, petang semalam.

Aminuddin berkata, sebanyak lapan kolam 'ngoca' turut disediakan di bawah kawasan Skim Pengairan Terachi Batu 17 berkeluasan kira-kira dua hektar di kawasan berkenaan.

Menurutnya, kerajaan negeri akan melakukan beberapa pengisian memastikan perkampungan budaya berkenaan dikenali orang ramai dan lebih ramai pengunjung menikmati pemandangan perkampungan tradisional di situ.

"Antara pengisian lain di sini ialah aktiviti penanaman padi pulut yang dikenali sebagai 'Padi Pulut Seri Menanti' (satu tapak) dan padi biasa (tujuh tapak) yang akan diusahakan penduduk tempatan dan menjadi sumber pendapatan mereka.

"Ini adalah tapak pelancongan baharu dan kerajaan negeri berharap untuk terus membangunkan kawasan ini dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan sekali gus membantu menjana ekonomi penduduk tempatan melalui kedatangan pengunjung," katanya.

Kata Aminuddin lagi, pelancong juga boleh mengunjungi beberapa lokasi bersejarah di Kuala Pilah seperti Istana Lama Seri Menanti selain rumah adat atau dikenali sebagai rumah telapak yang masih utuh.

"Ada banyak lokasi menarik di daerah Kuala Pilah ini yang boleh dikunjungi terutama kesan sejarah yang tiada di tempat lain.

"Oleh itu, kerajaan negeri akan terus komited untuk menjadikan Kuala Pilah antara tumpuan pelancong di negeri ini selain Port Dickson," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 11:50 AM