Mohd Azreen (kiri) menyerahkan cek kepada Tengku Nur Eireen. Foto Mohd Amin Jalil.
Mohd Azreen (kiri) menyerahkan cek kepada Tengku Nur Eireen. Foto Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Kuala Pilah: "Selepas ibu dan ayah pergi buat selama-lamanya, tanggungjawab menguruskan keluarga terletak di bahu saya," kata Tengku Nur Eireen Emylia Tengku Adam Amry.

Tengku Nur Eireen Emylia, 23, dari Taman Seri Terachi, di sini, berkata, walaupun dia memiliki abang sulung berusia 25 tahun, tetapi lelaki itu tinggal di Kampung Serting Tengah, Jempol.

Menurutnya, ibunya, Norliza Mohd Yusuf, 46, meninggal dunia pada 2011 akibat penyakit paru-paru berair manakala bapanya, Tengku Adam Amry Tengku Ismail, 55, meninggal dunia pada pertengahan Ogos lalu kerana masalah buah pinggang.

"Sejak ayah tiada, saya yang menjaga dan menguruskan tiga adik termasuk dua masih bersekolah di Tingkatan Satu dan Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Ipoh, Kuala Pilah.

"Memang ia satu tanggungjawab besar dan terasa beban berbanding ketika ayah ada dan menjaga kami semua sebelum ini.

"Namun, saya reda dengan ketentuan Allah SWT, yang meletakkan kami ketika ini dalam keadaan tanpa ibu dan ayah," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Terdahulu, dia menerima bantuan tunggakan bayaran rumah sebanyak RM12,792.82 dan bil elektrik berjumlah RM233.18 daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Sumbangan bantuan itu disampaikan Pegawai MAINS Daerah Kuala Pilah, Mohd Azreen Abu Bakar. Hadir sama, Pegawai Agihan Kuala Pilah, Mohd Irfan Aqil Kamaruddin.

Tengku Nur Eireen Emylia berkata, dia bekerja di sebuah kilang di Senawang, Seremban sejak setahun lalu dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.

Menurutnya, sebelum ini arwah bapanya bekerja sebagai penjual hasil kampung dengan pendapatan tidak seberapa dan selepas sakit teruk, sukar untuk mencari rezeki sehingga menyebabkan bayaran rumah turut tertunggak.

Katanya, rumah berkenaan didiami secara sewa beli melalui Unit Perumahan Kerajaan Kerajaan Negeri Sembilan.

"Saya tidak menyangka Baitulmal tampil membantu dan meringankan beban kami.

"Saya amat bersyukur dengan bantuan ini kerana ia membabitkan satu jumlah besar dan tidak mungkin kami berkemampuan untuk melunaskannya. Saya sangat berterima kasih kepada pihak Baitulmal MAINS yang sudi membantu," katanya.

Sementara itu, Mohd Azreen berkata sebelum ini arwah bapanya adalah penerima bantuan bulanan MAINS.

Beliau berkata, antara faktor menyebabkan tunggakan bayaran rumah itu adalah kerana arwah tidak mampu bekerja secara tetap atas masalah kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 5:01 PM