Mohamad Saiful memantau itik salai di gerainya yang kini lebih mendapat sambutan selepas pergerakan rentas daerah sudah dibenarkan di Negeri Sembilan. FOTO AHMAD HASBI
Mohamad Saiful memantau itik salai di gerainya yang kini lebih mendapat sambutan selepas pergerakan rentas daerah sudah dibenarkan di Negeri Sembilan. FOTO AHMAD HASBI
Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Deretan gerai menjual itik salai di sepanjang Jalan Seremban - Kuala Pilah dekat Terachi, di sini, kembali 'berasap' selepas pergerakan rentas daerah dibenarkan di negeri ini sejak 26 Ogos lalu.

Tinjauan wartawan tadi mendapati sudah banyak gerai menjual itik salai beroperasi kembali berbanding sebelum ini, sekali gus merancakkan ekonomi penduduk.

Pemilik Smoke House, Mohamad Saiful Nizam Jahaluddin berkata, 90 peratus daripada pelanggannya membabitkan individu dari luar Kuala Pilah atau Negeri Sembilan.

"Masyarakat di Kuala Pilah kurang berminat membeli itik salai kerana mereka boleh membuatnya sendiri atau terus membeli masakan siap berasaskan itik salai di restoran di sekitar daerah ini.

"Jadi jualan untuk dalam daerah sahaja kurang mendapat sambutan. Selepas Negeri Sembilan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pergerakan rentas daerah dibenarkan, ia sedikit sebanyak meningkatkan jualan harian," katanya.

Seorang lagi peniaga itik salai, Hanafiah Yob, 65, berkata, dia bersyukur apabila pergerakan rentas daerah dibenarkan apabila lebih ramai pelanggan dari Nilai, Seremban, Jempol dan Jelebu singgah di gerainya.

"Ketika di Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), gerai di sepanjang jalan ini tidak berasap dan ada yang hanya membuka kedai sekadar cukup syarat. Pernah dalam satu hari saya tidak dapat menjual walaupun seekor itik," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith berkata, menjadi objektif kerajaan untuk melihat pintu sempadan daerah dan negeri dapat dibuka, sekali gus merancakkan semula ekonomi.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berkata, orang ramai dinasihatkan membuat vaksinasi Covid-19 kerana peratusan pengambilannya menjadi salah satu faktor kepada pembukaan lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 6:23 PM