MOHD Shafei (kanan) menunjukkan cara penggunaan transplanter kepada Mustapa.
MOHD Shafei (kanan) menunjukkan cara penggunaan transplanter kepada Mustapa.
Oleh Amran Yahya

Teknik menanam padi menggunakan jentera sudah lama diperkenalkan di Malaysia tetapi di Negeri Sembilan, teknologi seperti ini masih asing.

Malah, kebanyakan petani di negara maju seperti Jepun, Taiwan dan Korea mengamalkan kaedah itu kerana mampu melipatgandakan hasil tanaman, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

Pengarah Pertanian Negeri Sembilan, Mustapa Umar berkata, kaedah penanaman padi menggunakan jentera tanaman atau transplanter sudah lama dipraktikkan di Tanjung Karang, Selangor dan mampu meningkatkan hasil sehingga dua kali ganda daripada kaedah biasa.

“Kita inginkan satu transformasi dalam kaedah penanaman padi. Sudah sampai masanya kita perlu perubahan baru mengikut peredaran zaman.

“Justeru, kita membawa sekumpulan tenaga mahir dari Jabatan Pertanian Sungai Burung, Tanjung Karang untuk berkongsi maklumat berkaitan cara penggunaan dan kelebihan transplanter,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Petak Promosi Penanaman Padi Menggunakan Jentera (transplanter) di Terachi, Kuala Pilah, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Menanti, Datuk Abd Samad Ibrahim.

Seramai 70 peserta dari seluruh Negeri Sembilan termasuk 10 dari Rompin, Pahang mengikuti program berkenaan.

Menurutnya, Terachi yang terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti terpilih sebagai lokasi perintis bagi pengenalan penanaman padi menggunakan transplanter yang pertama negeri itu.

“Daerah ini pengeluar padi terbesar di Negeri Sembilan dan Seri Menanti mempunyai 280 hektar tanaman padi milik enam pengusaha.

“Dengan menggunakan kaedah lama, pengeluaran padi di sini ialah 4.58 tan metrik sehektar berbanding empat tan metrik di peringkat nasional dan ini membuktikan muka bumi di negeri ini memang sesuai untuk tanaman ini.

“Namun, saya dimaklumkan jika penanaman padi menggunakan transplanter, hasilnya jauh lebih banyak dan ini dibuktikan pesawah di Selangor yang mampu mengeluarkan padi antara 10 hingga 14 tan metrik sehektar.

“Selain itu, kaedah berkenaan juga menjimatkan kos dan ruang manakala pokok padi lebih kemas dan tersusun,” katanya.

Mustapa berkata, pihaknya merancang menanam padi jenis Basmati di Seri Menanti pada masa akan datang, namun ia masih dalam perbincangan.

Sementara itu, pengendali transplanter dari Sungai Burung, Mohd Shafei Selamat, 52, berkata, pengunaan jentera banyak kelebihan terutama menjimatkan masa dan mampu mengelak pembaziran.

“Dalam kaedah biasa, keluasan satu hektar memerlukan 200 kilogram (kg) benih padi tetapi bagi transplanter, kita hanya menggunakan 80kg.

“Dari segi masa, menanam cara biasa mengambil masa tiga jam untuk satu hektar tetapi transplanter memerlukan satu jam setengah untuk disiapkan,” katanya.

Menurutnya, harga sebuah transplanter ialah RM40,000 dan menggunakan petrol sebagai bahan bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 8:37 AM