SHAIFUL Hazizy. FOTO arkib NSTP
SHAIFUL Hazizy. FOTO arkib NSTP
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Umno tidak pernah hilang sokongan pengundi Melayu apabila calon parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Umum, Negeri atau Kecil tidak pernah hilang wang deposit.

Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, sebaliknya yang berlaku adalah MCA yang hilang pengundi Cina apabila hanya menang dua kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Malah katanya, kerusi yang dimenangi MCA itu adalah di kawasan majoriti pengundi Melayu yang memberikan undi mereka kepada calon parti berkenaan.

"Saya sangat terkejut dengan kenyataan dikeluarkan Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng yang menyalahkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kehilangan undi Melayu ke atas Umno.

"Teik Cheng meminta Ahmad Zahid menerima hakikat Umno sudah kehilangan undi Melayu. Bagi saya yang perlu terima hakikat dan kenyataan adalah MCA yang kehilangan undi pengundi Cina.

"MCA hanya mampu menang dua kerusi saja ketika PRU-15. Malah kerusi itu sebenarnya adalah 'sedekah' daripada Umno kerana majoriti pengundi di kawasan itu adalah Melayu. Sebab itu kena kena sedar diri sebelum bercakap, takut termakan diri," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Teik Cheng dalam kenyataannya kelmarin, meminta Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menerima hakikat bahawa sokongan orang Melayu terhadap gabungan itu terus merosot.

Ini selepas Ahmad Zahid mendakwa BN mencatatkan prestasi buruk pada PRK Kemaman kerana 'pengundi putih' daripada parti itu tidak keluar mengundi.

Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy berkata, perlu difahami bahawa akar umbi sukar menerima kerjasama antara Umno dan Pakatan Harapan (PH), tetapi MCA selaku rakan komponen perlu percaya dengan strategi itu.

Jelasnya, Kerajaan Madani mempunyai kekuatan yang akhirnya akan berjaya menarik undi Melayu pada PRU akan datang.

"Sejak bila Umno hilang pengundi Melayu kalau semua kerusi yang Umno bertanding tidak kira ketika PRU, PRN mahupun PRK, semua Umno tidak hilang deposit. Maksudnya undi Melayu itu masih ada dan masih kuat.

"Kalau Teik Cheng guna PRK Kemaman sebagai indikator betapa teruknya Umno, dia kena ingat Umno tidak menghantar orang parti ke sana dan kena ingat Kemaman itu memang milik Perikatan Nasional (PN).

"Malah semua kerusi DUN dan kerusi Parlimen (di Terengganu) milik PN. Calon Umno bertanding melawan dengan Menteri Besar negeri tersebut," katanya.

Beliau berkata, MCA mungkin takut pada bayang-bayang sendiri apabila parti itu tidak diperlukan bagi mendapatkan sokongan pengundi Cina dalam gabungan BN-PH kerana DAP mampu meraih sokongan.

"Tapi di saat kita tidak hilang deposit dan berjaya mendapat puluhan ribu undi, walaupun bertanding di kerusi yang sukar, itu menunjukkan Umno masih ada di hati rakyat.

"MCA sepatutnya saling membantu untuk mendapatkan undi Melayu bukannya buat kenyataan yang akhirnya akan membuatkan undi Melayu lagi hilang.

"Sejujurnya, saya merasakan MCA takut dengan bayang-bayang sendiri sebab mereka sedar dengan gabungan BN-PH ini, MCA sudah tidak diperlukan lagi untuk mendapatkan undi Cina kerana sudah ada DAP yang berjaya mendapatkan undi kaum itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 3:19 PM