Khairul Azran Hussin


MCA akan mengumumkan nama calon parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, minggu depan.

Setiausaha MCA Selangor Datuk Ng Chok Sin berkata, pihaknya sudah mengadakan beberapa pertemuan dengan kepemimpinan pusat bagi memilih calon yang disenarai pendek untuk bertanding di PRK DUN Balakong.

“Nama (calon) belum muktamad. Keputusan akan dibuat dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Mengenai keputusan sama ada MCA akan menggunakan logo sendiri atau Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Balakong, Chok Sin berkata, pihaknya sedang menjalankan ‘post mortem' dan kaji selidik kesan penggunaan logo parti dalam kalangan pengundi.

“Belum ada (keputusan). Kita sedang teliti jika MCA guna logo sendiri, adakah ia beri kebaikan kepada MCA atau tidak. Kita kena lihat dari semua sudut,” katanya.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, parti itu mungkin akan menggunakan logo sendiri pada PRK DUN Balakong.

Isu penggunaan logo UMNO turut dibangkitkan ketika parti itu bertanding pada PRK DUN Sungai Kandis, namun Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memutuskan untuk menggunakan logo BN.

Kerusi DUN Balakong kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, mendiang Ng Tien Chee meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tien Chee berjaya mengekalkan kerusi DUN Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon BN dan PAS dengan majoriti 35,538 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari ini menetapkan 18 Ogos ini sebagai hari penamaan calon manakala hari mengundi PRK DUN Balakong pada 8 September ini.

Seramai 62,219 pemilih berdaftar layak mengundi bagi PRK DUN Balakong iaitu mengikut daftar pemilih sehingga suku pertama 2018 yang dikemaskini sehingga 2 Julai lalu.

DUN Balakong pernah menjadi kerusi selamat kepada MCA sehinggalah PRU-12 pada 2008 apabila parti itu tewas kepada DAP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 6:05 PM