FOTO Ihsan bomba
FOTO Ihsan bomba
 Letupan yang berlaku di sebuah kilang di Bukit Selambau yang sedang terbakar. FOTO IHSAN BOMBA
Letupan yang berlaku di sebuah kilang di Bukit Selambau yang sedang terbakar. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Asap tebal dan letupan seperti percikan bunga api memenuhi ruang udara di Bukit Selambau selepas tiga gudang menyimpan barangan terpakai musnah dalam kebakaran, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, terdapat logam, wayar dan tembaga dalam gudang itu dan api berjaya dikawal jam 10.02 malam tadi.

Menurutnya, Pusat Kawalan Operasi (PGO) JBPM Kedah sudah menghubungi Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

"Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah mematikan bekalan elektrik di kawasan gudang berkenaan untuk memudahkan operasi dilakukan.

"Operasi dibahagikan kepada empat sektor (4 gudang) iaitu sektor pertama, kedua, ketiga manakala sektor empat dimaklumkan tiada api merebak.

"Setakat ini tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kebakaran itu dan punca serta kerugian masih dalam siasatan.

"Pada mula kami dimaklumkan kebakaran membabitkan kilang namun hasil siasatan mendapati ia membabitkan tiga gudang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Mohd Hamizi berkata, operasi pemadaman turut membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Sungai Petani, Kulim Hi-Tech dan Yan.

Selain itu, ia turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Selambau, PBS Jeniang, Semeling, Bedong, Sik, Gurun dan Kota Sarang Semut.

Terdahulu tular video di media sosial berikutan kebakaran itu menyebabkan terdapat percikan seperti bunga api di udara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 11:10 PM