Norehan menyangka bunyi kuat itu seperti kapal terbang mendarat rendah dan terbakar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Norehan menyangka bunyi kuat itu seperti kapal terbang mendarat rendah dan terbakar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: "Saya ingat ada pesawat terhempas sebab dengar bunyi letupan kuat," kata penduduk Kampung Baru Bukit Selambau, Norehan Hassan, 45, susulan kebakaran tiga gudang berhampiran yang menyebabkan letupan 'bunga api' malam tadi.

Katanya, dia yang ketika itu sedang makan terkejut disebabkan bunyi letupan kuat dan berlari untuk menyelamatkan diri meskipun tidak tahu apa yang berlaku.

"Memang bunyi kuat, sampai semua lari keluar rumah dan apabila di luar, saya nampak api marak menjulang tinggi dari arah gudang itu.

"Kebakaran itu sangat besar hinggakan nampak percikan bunga api," katanya ketika ditemui hari ini.

Norehan berkata, dia yang ketakutan melihat kebakaran itu terus menghubungi bomba.

Penduduk di Perumahan Awam Bukit Selambau, Shariza Mohd Sharif, 46, berkata, dia juga menyangkakan bunyi kuat itu seolah-olah seperti kapal terbang terhempas.

Katanya, kebanyakan penduduk di situ terdengar bunyi sama dan masing-masing menyangkakan ada pesawat terhempas atau mendarat cemas dan selepas melihat keadaan di luar rumah, rupanya berlaku kebakaran besar di gudang tidak jauh dari situ.

Manakala penduduk Kampung Penghulu Tua, Normah Che Noor, 60, berkata bunyi letupan kuat yang itu disangka latihan tembakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) memandangkan kedudukan pusat latihan pasukan itu terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Ketika kejadian saya dan suami nak keluar ke Kuala Ketil dan cuba mendekati lokasi kejadian untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

"Namun dari jauh nampak asap tebal hitam dan terasa bahang menyebabkan kami tak berani pergi dekat sebab takut juga kerana nampak percikan bunga api seolah-olah macam pertunjukan pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 4:06 PM