GUDANG di Bukit Selambau yang dipercayai terbakar dalam kebakaran yang berlaku Ahad lalu.FOTO Ihsan JAS
GUDANG di Bukit Selambau yang dipercayai terbakar dalam kebakaran yang berlaku Ahad lalu.FOTO Ihsan JAS
Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Operasi memadam kebakaran tiga gudang penyimpanan bahan terpakai di Bukit Selambau tamat sepenuhnya tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, operasi tamat sepenuhnya jam 12 tengah malam tadi selepas empat hari sejak Ahad lalu.

Beliau berkata, bantuan Unit Anjing Pengesan (K-9) JBPM juga diperlukan untuk tujuan penyiasatan kebakaran di lokasi kejadian.

"Sebelum ini, Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) JBPM juga melakukan pengesanan gas yang ada di lokasi kebakaran dan mendapati keadaan persekitaran terkawal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Awang Hidzel berkata, operasi disertai anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Sungai Petani, Yan, Kulim Hi-Tech, Guar Chempedak dan Bukit Kayu Hitam.

Beliau berkata, setakat ini punca dan kerugian sebenar dalam kebakaran itu masih dalam siasatan.

Media sebelum ini melaporkan, tiga gudang yang menyimpan bahan terpakai seperti logam, tembaga dan wayar di Bukit Selambau itu musnah dalam kebakaran yang berlaku jam 7.45 malam Ahad lalu.

Kebakaran itu turut menyebabkan berlaku letupan bunga api yang kuat sehingga mengundang kebimbangan penduduk kampung berhampiran.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan membabitkan mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 11:11 AM