AHMAD Samsuri (tengah) bergambar sambil meraikan kemenangan PRK Kemaman di Arena Square, Chukai. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Samsuri (tengah) bergambar sambil meraikan kemenangan PRK Kemaman di Arena Square, Chukai. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply dan Rosli Ilham


Chukai: Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang memenangi kerusi Parlimen Kemaman, semalam tidak pernah meletakkan sasaran menjadi Perdana Menteri apabila menceburi bidang politik.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, memegang jawatan Perdana Menteri juga tidak pernah terlintas di fikirannya, namun sedia mempertimbangkan perkara itu jika diberi amanah oleh parti dan rakyat.

"Saya rasa saya sudah jawab beberapa kali soalan itu termasuklah bila saya buat penggulungan di sidang Dun (Dewan Undangan Negeri)... tidak menjadi sasaran atau objektif saya menyertai politik ini untuk menjawat jawatan yang sebegitu tinggi.

"Walaupun begitu sekiranya di satu masa nanti yang akan datang (apabila) diberi amanah oleh parti dan juga rakyat, saya akan pertimbangkan perkara itulah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas diumumkan sebagai Ahli Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman di sini malam tadi.

Ahmad Samsuri memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman selepas memperoleh 64,998 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang memperoleh 27,778 undi.

Ahmad Samsuri yang memperoleh majoriti 37,220 undi sebelum ini disebut-sebut bakal calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN), selepas diletakkan sebagai calon kerusi parlimen.

Beberapa pimpinan politik termasuk dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berpandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang itu berkelayakan memegang jawatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 10:29 AM