Zuliaty Zulkiffli


DUA beradik ditahan kerana melindungi atau menggaji tiga warga Indonesia tanpa permit serta tinggal lebih masa di Jitra, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur berkata, dua beradik lelaki masing-masing berusia 18 dan 30 tahun itu ditahan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Covid di Kilometer 16 berhampiran lampu isyarat Napoh, dekat Jitra pada 9.30 pagi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui dua wanita dan seorang lelaki warga Indonesia berusia sekitar 40-an di tempat duduk belakang kenderaan utiliti sukan (SUV) Ford Ranger dipandu lelaki berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati, dua daripadanya mempunyai pasport tetapi tiada permit kerja manakala seorang tidak mempunyai sebarang dokumen untuk tinggal di negara ini," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.

Chien berkata, kesemua mereka dipercayai dalam perjalanan dari selatan ke utara untuk melakukan kerja.

Katanya, kesemua mereka ditahan untuk membantu siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 55B (1)Akta Imigresen 1959/63.

"Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

CHIEN menunjukkan kenderaan yang digunakan dua beradik untuk membawa tiga warga Indonesia. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
CHIEN menunjukkan kenderaan yang digunakan dua beradik untuk membawa tiga warga Indonesia. FOTO Zuliaty Zulkiffli.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 10:21 AM