Zuliaty Zulkiffli


BERSELINDUNG di sebalik upacara pengebumian penduduk, sekumpulan lelaki termasuk warga emas bermain judi belangkas di Jalan Nami, Kampung Lamdin di Padang Terap, malam tadi,

Kumpulan lelaki berusia 29 hingga 67 tahun itu dikatakan sedang melakukan pertaruhan di atas meja sebelum bertempiaran lari ke semak berhampiran selepas menyedari kehadiran anggota polis.

Serbuan Ops Dadu dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang diketuai Asisten Superintendan Rosli Hanafi.

Operasi turut dibantu sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap pada 12.15 tengah malam.

Bagaimanapun, hanya 10 daripada kaki judi itu berjaya ditahan untuk membantu siasatan manakala sebahagian yang lain berjaya melarikan diri.

Kebanyakan mereka dipercayai bekerja sebagai penoreh getah.

Sementara itu, seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun yang dicekup berkata, dia datang ke situ sejak dua hari lalu dari Kuala Lumpur hanya untuk "menonton" kumpulan itu permainan judi belangkas itu.

Mereka turut ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana berkumpul di tempat terbuka mengikut Perkara 3 Jadual Aktiviti Terlarang Bil.11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB).

ANTARA mereka yang ditahan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
ANTARA mereka yang ditahan. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, kesemua mereka yang ditahan itu berasal di sekitar Pendang, Kulim, Padang Terap malah dua daripadanya dari Selangor dan Pulau Pinang.

"Kita turut merampas kain lukisan gambar bunga, ikan, udang dan belangkas, pinggan seramik (1), mangkuk aluminium (1), bungkusan berisi beras (1), buah dadu belangkas (1), meja bulat berkaki besi (1), kerusi plastik (4 buah) dan papan putih (1).

"Selain itu, turut dirampas adalah wang tunai RM760 (wang taruhan) dan wang rampasan di badan mereka sebanyak RM8,558," katanya.

Sapii berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan semua dibawa ke IPD Padang Terap untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 11:09 AM