Azam Baki.
Azam Baki.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Dana Aman Palestin Berhad akan kekal dibekukan sehingga siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilengkapkan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan terhadap kes itu penting berikutan ia membabitkan kepentingan awam.

"Berhubung akaun Aman Palestin yang dibekukan, SPRM masih menyiasat kesahihan transaksi dan tuntutan sebelum ini.

"Dalam isu berkenaan (gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad), SPRM tidak boleh begitu sahaja mengeluarkan dana sehingga semua siasatan selesai. Ini termasuklah penjelasan diperolehi berhubung penggunaan terhadap derma awam berjumlah jutaan ringgit," katanya tadi.

Menurutnya, siasatan terhadap Aman Palestin penting sebagai rujukan bagaimana cara sesuatu dana awam itu boleh atau tidak boleh digunakan.

"Sebagai badan penguatkuasaan antirasuah utama, SPRM memandang serius kes ini kerana ia adalah kepentingan awam.

"Ia berkemungkinan akan menjadi contoh bagaimana derma awam boleh dan tidak boleh digunakan," katanya.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohd menggesa SPRM menggunakan RM10 juta daripada akaun yang dibekukan bagi membantu penduduk Gaza.

Ia susulan kebimbangan menjelang musim sejuk yang dikhuatiri akan menambah penderitaan warga Gaza yang kini sedang berdepan kekejaman rejim Zionis Israel.

"Sebelum ini, Aman Palestin menyediakan RM10 juta untuk membantu rakyat Palestin, Yaman, Syria dan Lebanon bagi mengurangkan kesengsaraan mereka, namun telah dibekukan SPRM susulan siasatan ke atasnya.

"Malangnya, Aman Palestin kita disiasat oleh SPRM dan akaun-akaun mereka dibekukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 12:27 PM