IBU Pejabat Aman Palestin di Bandar Baru Bangi. FOTO Bernama
IBU Pejabat Aman Palestin di Bandar Baru Bangi. FOTO Bernama
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses mengenal pasti aset pertubuhan Aman Palestin dipercayai diperoleh hasil penyelewengan dana awam RM70 juta.

Sumber berkata, kesemua aset berkenaan dalam tindakan untuk sitaan.

Menurutnya, keterangan ketua pegawai eksekutif pertubuhan berkenaan juga masih belum diambil oleh SPRM.

"Setakat ini, 11 saksi sudah dirakam keterangan oleh SPRM," katanya, hari ini.

Mengulas lanjut, kata sumber itu, sembilan daripada 41 akaun bernilai lebih RM15.86 juta yang dibekukan adalah akaun yang didaftarkan di atas nama Aman Palestin Berhad.

"Manakala, dua akaun lagi milik sebuah syarikat dan selebihnya adalah akaun membabitkan tujuh individu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut memandangkan siasatan masih berjalan.

Semalam, SPRM mengesahkan membeku sebanyak 41 akaun bank syarikat pertubuhan Aman Palestin bernilaiRM15,868,762.00 sehingga semalam.

Pembekuan itu dilakukan selepas SPRM menjalankan terhadap dakwaan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan penggeledahan turut dilakukan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.

SPRM juga merakam beberapa keterangan saksi penting bagi siasatan lanjut.

Hasil siasatan awal mengenalpasti beberapa isu membabitkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.

Siasatan berkenaan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan-kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 3:46 PM