Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjawab soalan pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Ke-15 di Kompleks Seri Negeri dekat Ayer Keroh. FOTO BERNAMA
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjawab soalan pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Ke-15 di Kompleks Seri Negeri dekat Ayer Keroh. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Cadangan penubuhan pusat aeroangkasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam, di sini adalah antara hasil misi pelaburan kerajaan negeri ke luar negara, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengadakan pertemuan dengan sebuah syarikat dari Itali yang memiliki 15 aset helikopter di Malaysia untuk menjadikan LTAM sebagai lokasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat.

"Jadi potensi pelaburan yang dicadangkan kepada syarikat itu ialah supaya menggunakan kemudahan LTAM untuk dijadikan pusat MRO memandangkan LTAM ini ada banyak ruang kosong dan boleh digunakan sebagai pusat industri aeroangkasa yang giat berkembang ketika ini.

"Saya juga telah berunding dengan Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) untuk menaik taraf LTAM sebagai pusat aeroangkasa memandangkan ada sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti itu lebih daripada 20 tahun di Melaka," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka di Seri Negeri di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) mengenai hasil lawatan kerja Ab Rauf ke luar negara sebelum ini.

Ab Rauf berkata, sekiranya LTAM dijadikan sebagai MRO pesawat, ia akan membuka kira-kira 1,000 peluang pekerjaan baharu di negeri itu.

Menurutnya, setakat ini Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Masjid Tanah menyediakan latihan dalam industri aeroangkasa dan terdapat 23 pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Melaka yang boleh menjadikan negeri itu sebagai pilihan kepada syarikat antarabangsa untuk melabur memandangkan ia mempunyai tenaga kerja mahir yang cukup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 2:07 PM