Kang Goo-Young.
Kang Goo-Young.
BERNAMA

Langkawi: Keputusan Malaysia membeli 18 unit FA-50 Block 20 'Fighting Eagle' bakal membuka laluan kepada negara menjadi hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi pengendali pesawat tempur ringan berkenaan di rantau ini.

Bercakap secara eksklusif menerusi penterjemah kepada Bernama, Ketua Pegawai Eksekutif Korea Aerospace Industries (KAI) Kang Goo-Young berkata, lebih 100 pesawat tempur T-50/FA-50 ketika ini digunakan oleh tentera udara Thailand, Indonesia dan Filipina.

Katanya Malaysia adalah peserta terbaharu kelab T-50/FA-50 Asia Tenggara.

"Sebagai sebahagian daripada Program Kerjasama Industri (ICP), pemasangan peringkat akhir pesawat tempur yang dibeli Malaysia akan di lakukan di negara ini.

"Jadi, daripada 18 unit (FA-50 Block 20 yang dibeli Malaysia) hanya empat yang dihasilkan sepenuhnya di Korea Selatan, manakala baki 14 pesawat lagi akan dipasang di sini (Malaysia) dengan penyelarasan teknikal yang rapat antara Malaysia dan Korea Selatan.

"Terdapat beberapa bidang sokongan teknikal yang akan disediakan dan satu daripadanya ialah keupayaan penyelenggaraan... justeru, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan mempunyai keupayaan untuk mengendalikan hab MRO di negara ini, selain turut menawarkan perkhidmatan kepada negara Asia lain yang mengoperasikan produk KAI," katanya.

Kang ditemui di luar edisi ke-16 Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA'23) yang bermula Selasa lalu.

Mengenai tarikh penghantaran FA-50 Block 20 ke Malaysia, ketua syarikat aeroangkasa terbesar Korea Selatan itu mendedahkan penghantaran pesawat tempur berkenaan ke TUDM akan dibuat secara berperingkat bermula Oktober 2026.

Menjelaskan lebih lanjut potensi Malaysia sebagai hab MRO bagi pengguna T-50/FA-50 di rantau ini, Kang berkata, penambahan satu lagi kumpulan 18 unit FA-50 untuk TUDM akan mengukuhkan kedudukan negara ini sebagai hab pengguna pesawat tempur ringan di rantau ini.

Susulan daripada pembelian awal 18 unit FA-50 Blok 20, Kementerian Pertahanan dijangka melaksanakan perolehan kumpulan kedua membabitkan 18 unit lagi 'Fighting Eagles', seperti yang ditetapkan di bawah Pelan Perancangan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau CAP 55 TUDM.

Di bawah program CAP 55 berkenaan, TUDM merancang memiliki 36 pesawat tempur ringan dan pada Februari lalu, menyaksikan Malaysia menandatangani Surat Setuju Terima dengan KAI untuk pembelian 18 pesawat tempur ringan FA-50 Blok 20 bernilai AS$920 juta.

KAI adalah pengeluar pesawat tunggal Korea Selatan.

Dengan perjanjian terbaharu itu, gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu menjual 68 jet latihan lanjutan asas KT-1 dan T-50, serta pesawat FA-50 kepada negara-negara di Asia Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 12:53 PM