Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Wan Nur Ameera Meor Rozman


Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yakin industri aeroangkasa akan menjadi salah satu sektor yang dapat diperkembangkan, sekali gus menarik lebih ramai pelabur asing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Mahmud berkata, tahun lalu saja pelaburan langsung yang diluluskan untuk aeroangkasa hampir dua kali ganda iaitu berjumlah RM682 juta berbanding berbanding RM387.3 juta pada 2013.

Katanya, jumlah itu meliputi pelaburan yang diluluskan dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

“Malaysia sedang berusaha memperkukuhkan industri aeroangkasa sebagai langkah untuk mengembangkan kemahiran teknologi dan inovasi serta negara sudah berada di barisan hadapan dalam beberapa pasaran termasuk reka bentuk komposit dan pembuatan, reka bentuk komponen pesawat dan pembuatan, avionik dan reka bentuk sistem serta pembuatan.

“Negara juga sedang bergerak menuju ke arah menjadi hab aeroangkasa penting dan tumpuan semasa ialah kepada perkhidmatan MRO penerbangan serta mengembangkan perkhidmatan kejuruteraan tulen,” katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan aeroangkasa anjuran MIDA di sini, semalam.

Menurutnya, fokus terhadap MRO itu selari dengan hasrat kerajaan untuk menarik pelabur luar, menubuhkan institusi latihan aeroangkasa, sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada rakyat.

Azman berkata, jumlah peserta global yang sudah membuat pelaburan dalam bidang itu juga meningkat dan sehingga kini negara mempunyai lapan syarikat pemasangan pesawat, 20 pengeluar alat ganti pesawat serta 34 firma yang terbabit dalam penyelenggaraan dan baik pulih antaranya, Aeromek Manufacturing, CTRM Aeritech, Sepang Aircraft Engineering, Airod dan Malaysian Aerospace Engineering.

Persidangan itu dianjurkan dengan kerjasama United Technologies Corporation (UTC), konglomerat multinasional Amerika Syarikat (AS) dalam industri aeroangkasa dan bangunan komersial, membabitkan penyertaan 150 peserta, termasuk 80 bakal pembekal daripada industri aeroangkasa AS dan Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 7:39 AM