SEBUAH premis menjalankan perniagaan jualan kasut tiruan secara dalam talian sejak 2021 diserbu KPDN hari ini. FOTO Ihsan KPDN
SEBUAH premis menjalankan perniagaan jualan kasut tiruan secara dalam talian sejak 2021 diserbu KPDN hari ini. FOTO Ihsan KPDN
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang: Kegiatan sebuah premis menjalankan perniagaan jualan kasut berjenama tiruan secara dalam talian sejak 2021 di daerah ini terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), hari ini.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, premis berkenaan dipercayai dijadikan stor simpanan dan tempat urus niaga secara dalam talian pelbagai kasut berjenama popular.

"Serbuan dijalankan dengan kerjasama wakil cap dagang yang sah mengikut Akta Cap Dagangan 2019 berhubung aktiviti mencurigakan membabitkan cap dagangan yang diwakili.

"Ia juga hasil tinjauan dan risikan yang dijalankan selama sebulan.

"Ketika serbuan, anggota menemui seorang lelaki warga asing berusia 18 tahun disyaki pekerja premis," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan awal pasukan serbuan bermula di premis yang dipercayai kediaman orang yang disiasat.

"Hasil pemeriksaan mendapati kediaman berkenaan tidak menjalankan sebarang aktiviti mencurigakan.

"Serbuan turut menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai pemilik premis yang diserbu," katanya.

Katanya, semua barangan disita dianggarkan berjumlah RM45,123.

"Semua barang rampasan akan disimpan serta dikawal di bawah Pengurusan eksibit KPDN Selangor sepanjang siasatan berjalan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 10:47 PM