TEO Nie Ching pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat. FOTO Bernama
TEO Nie Ching pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,147 kandungan hantaran berkaitan buli siber diturunkan bermula 1 Januari sehingga 15 November lalu hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan platform media sosial.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, daripada jumlah itu, TikTok yang paling banyak diturunkan dengan 804 hantaran.

"Facebook (195), platform X (tujuh), Instagram (sembilan), YouTube (sembilan). Jumlah keseluruhannya adalah 1,147," katanya ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berhubung usaha dan peranan dimainkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam usaha bagi mewujudkan perundangan khusus seperti Akta Anti Buli bagi menangani buli siber secara lebih berkesan dalam kalangan pelajar.

Menurut Mas Ermieyati, laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan Malaysia di kedudukan kedua di rantau Asia berkenaan buli siber dan nombor enam di dunia dalam kalangan belia.

Mengulas lanjut, Nie Ching turut bersetuju dengan cadangan Mas Ermieyati bahawa buli siber khasnya dalam kalangan golongan remaja bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan.

Beliau berkata, cadangan dikemukakan oleh Mas Ermieyati itu akan dibawa oleh pihaknya dan berbincang dengan pemegang taruh yang lain.

"Saya akan membawa balik cadangan itu untuk berbincang dengan pemegang taruh lain, tengok mana satu kementerian yang lebih sesuai untuk membawa akta tersebut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 12:21 PM