Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat sebanyak 118 laman sesawang pelacuran dalam talian bermula 1 Januari tahun ini sehingga 15 November lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, tindakan sekatan itu dilaksanakan bagi menghenti atau mencegah pelakuan kesalahan di bawah undang-undang negara berkaitan pelacuran.

"Tindakan terhadap kegiatan pelacuran sama ada secara dalam talian atau luar talian adalah secara khusus tertakluk di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah peruntukan perundangan sedia ada seperti Kanun Keseksaan (Akta 574).

"Bagi kes-kes berkaitan pelacuran dalam talian, MCMC berperanan memberikan bantuan teknikal berhubung siasatan, pembekalan maklumat, analisis forensik digital serta pelaksanaan tindakan sekatan atau penurunan kandungan berdasarkan permohonan daripada PDRM atau aduan lain

yang berkaitan," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) mengenai langkah bagi menghentikan kegiatan pelacuran dalam talian membabitkan golongan muda di platform X atau dulunya dikenali sebagai Twitter.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, tindakan sekatan yang diambil oleh MCMC tidak berfokus kepada satu platform sahaja di media sosial.

"Sebaliknya mencakupi berbilang platform media sosial. Dari 1 Januari sehingga 15 November 2023, sejumlah 76 kandungan berkaitan pelacuran di platform-platform media sosial termasuk Twitter telah diturunkan atas pelanggaran piawaian komuniti yang ditetapkan oleh platform media sosial terbabit serta perlakuan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang negara.

"Langkah-langkah ini akan diteruskan oleh MCMC dengan kerjasama agensi penguatkuasaan seperti PDRM, pemberi perkhidmatan internet dan penyedia platform media sosial untuk menangani permasalahan berkaitan aktiviti pelacuran dalam talian di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 2:26 PM