Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mempertahankan penganjuran konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang akan berlangsung di Stadium Bukit Jalil, di sini malam ini.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching mempersoalkan kenapa Malaysia perlu menghalang band berasal dari United Kingdom (UK) itu, sedangkan Indonesia, sebuah negara yang mempunyai bilangan orang Islam paling ramai di dunia membenarkan penganjurannya.

Menurutnya, KKD sudah memberikan penjelasan kepada artis dalam dan luar negara agar menghormati kedaulatan undang-undang dan kebudayaan Malaysia.

"Tahu tak Yang Berhormat bahawa Coldplay baru pergi ke Jakarta, Indonesia pada 15 November dan menganjurkan konsert mereka di sana?

"Jadi, apa salah kalau sebuah negara yang mempunyai warga Muslim paling ramai di dunia boleh mengizinkan Coldplay mengadakan konsert di sana dan Malaysia kita tak boleh izinkan Coldplay untuk datang ke sini?

"Dan kami sudah jelaskan kepada semua artis, tak kiralah dalam atau luar negara, kalau mereka berhasrat untuk datang ke Malaysia, mereka perlu hormat kedaulatan undang-undang dan kebudayaan negara.

"Itu adalah pendirian KKD dan pendirian Kerajaan Madani," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 Peringkat Jawatankuasa bagi KKD di Dewan Rakyat hari ini.

TEO Nie Ching merangkap Ahli Parlimen Kulai ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen baru-baru ini. FOTO Bernama
TEO Nie Ching merangkap Ahli Parlimen Kulai ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen baru-baru ini. FOTO Bernama

Mengulas lanjut, Teo turut melahirkan keyakinan bahawa tidak kira mana-mana pihak yang menjadi kerajaan, akan membuat pendirian seperti itu.

"Saya percaya nak tunjuk sokongan kami bersolidariti kepada Palestin, ada banyak cara dan perkara.

"Ada Ahli Yang Berhormat pilih untuk boikot makanan dan minuman segera terkenal, tetapi tak boikot Mercedes, Iphone dan Facebook. Itu pilihan sendiri.

"Jadi untuk mereka yang sudah beli tiket nak pergi ke konsert pada malam ini. I wish them to enjoy the show (saya berharap mereka menikmati persembahan itu).

"Tetapi untuk orang yang tak suka Coldplay, tak minat, tak dapat beli tiket, jangan lah kita kacau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 4:50 PM