Mas Ermieyati
Mas Ermieyati
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpandangan kos RM129 juta yang dibelanjakan kerajaan bagi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 1 sebagai tidak berbaloi.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ini disebabkan ketepatan aras air banjir dan ramalan berhubung bila, serta di mana berlakunya banjir atau dikenali sebagai HIT tidak 100 peratus tepat.

"Selain itu, PAC juga mendapati bahawa walaupun jumlah keseluruhan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) telah dibayar melalui pemotongan bayaran kemajuan kontraktor, kelewatan bagi pemasangan sistem PRAB tidak sepatutnya berlaku kerana ia telah menjejaskan kehidupan sosial dan ekonomi rakyat yang terkesan dengan banjir," katanya dalam kenyataan, hari ini.

PAC sudah mengadakan prosiding pada 16 Januari lalu berhubung PRAB di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang kini dikenali sebagai Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Antara saksi yang dipanggil seperti Ketua Setiausaha NRECC, Dr Ching Thoo Kim; Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ahmad Anuar Othman dan Pengarah Kanan Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Fariza Yunus.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, dalam prosiding yang diadakan itu, pihaknya dimaklumkan anggaran jumlah yang diperuntukkan bagi pembangunan PRAB Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 adalah RM1.065 bilion.

"Atas sebab itu, PAC mahu baki pembangunan bagi PRAB Fasa 2 dan Fasa 3 disiapkan mengikut masa, kos, kualiti dan peruntukan yang telah ditetapkan.

"Ia sekali gus merealisasikan matlamat PRAB iaitu menyediakan perkhidmatan ramalan dan amaran banjir yang efektif dan berkesan kepada orang awam," katanya.

Menurutnya, berdasarkan prosiding yang diadakan, PAC juga memberikan beberapa rumusan antaranya, kelemahan dalam pengurusan projek telah menyebabkan kelewatan kerja di Lembangan Sungai Kelantan dan Terengganu sebanyak 1,829 hari, manakala kerja di Lembangan Sungai Pahang pula mengalami kelewatan 1,836 hari.

Katanya, penaiktarafan rangkaian 3G ke 4G di bawah Program Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) pula menyebabkan berlaku masalah penghantaran data dari stesen ke 'gateway' yang tergantung melebihi tempoh tiga bulan berturut-turut kerana kontrak PRAB yang menggunakan rangkaian semasa iaitu 2G atau 3G.

"NRECC melalui JPS telah menaik taraf Remote Terminal Unit (RTU) menggunakan liputan komunikasi 4G di 39 stesen daripada 118 stesen bagi menangani isu kelewatan penerimaan data dan isu data tidak diterima.

"Kos PRAB Fasa 2 yang asalnya berjumlah RM385 juta meningkat kepada RM522 juta berikutan penambahan sistem siren, kamera web dan program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA)," katanya.

Mas Ermieyati berkata, sebagai langkah penambahbaikan terhadap PRAB, PAC mengesyorkan PETRA dan JPS agar memastikan baki 79 stesen daripada 118

stesen melaksanakan penukaran RTU dengan kadar segera bagi memastikan PRAB dapat berfungsi dengan sempurna.

"PETRA dan JPS perlu memastikan segala kontrak yang dirangka mengambil kira perkembangan teknologi dan kesan jika berlaku kelewatan pelaksanaan ke atas projek.

"PETRA dan JPS perlu memastikan PRAB Fasa 2 dan Fasa 3 disiapkan mengikut masa, kos, kualiti dan peruntukan yang telah ditetapkan.

"JPS perlu memastikan penyenggaraan pencegahan dilaksanakan mengikut jadual dan kontraktor dipilih layak serta kompeten untuk melaksanakan penyenggaraan PRAB, selain memastikan segala peralatan di stesen dilindungi dengan sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 3:32 PM