Ahmad Suhael Adnan

Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam proses meminda Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709) untuk meningkatkan kadar denda yang boleh dikenakan kepada pihak yang membocorkan data peribadi pengguna.

Selain itu, kementerian terbabit juga sedang menggubal Akta Keselamatan Siber bagi menangani isu scam atau penipuan yang menjadi ancaman besar kepada pengguna di Malaysia.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, berkata jumlah denda yang dikenakan terhadap pihak yang disabit kesalahan mengikut Akta 709 ketika ini terlalu kecil dan tidak setara dengan kesalahan yang dilakukan.

Sehubungan itu, katanya, kementerian itu berharap peningkatan denda menerusi pindaan Akta 709 akan memastikan pihak syarikat dan agensi lebih bertanggungjawab dalam mengawal dan melindungi data peribadi pengguna.

"Memang setakat ini Akta 709 diguna pakai tapi denda memang tak tinggi. Untuk tujuh kes yang dikeluarkan kompaun mengikut Seksyen 5 Akta 705, kompaun keseluruhan yang dikenakan hanyalah RM200,000, manakala bagi lapan kes mengikut Seksyen 16, kompaun dikenakan secara keseluruhan hanyalah RM81,000.

"Sebab itu kita berhasrat mengkaji Akta 709 dan antara cadangan ialah meningkatkan lagi denda yang boleh dikenakan, dengan memastikan denda yang dikenakan adalah setimbang dengan maklumat yang dibocorkan," katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanya apakah matlamat KKD dalam pindaan Akta 709 serta sama ada kementerian itu berhasrat menubuhkan pasukan khas bagi menangani isu kebocoran data dan scam.

Mengulas lanjut, Nie Ching menjelaskan antara perkara yang dipertimbangkan KKD dalam menaikkan kadar denda itu adalah mengenai jumlah dan jenis data yang dibocorkan.

"Kalau bukan saja nama, tapi nombor telefon, nombor kad pengenalan dan kita nak nampak berapa data peribadi yang dibocorkan, kita nak kenakan denda yang seimbang dengan kebocoran itu," katanya.

Berhubung isu scam yang menggunakan data pengguna, Nie Ching berkata kerajaan mewujudkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pada 14 Oktober tahun lalu, dan banyak aduan diterima daripada platform itu.

"Sejak penubuhan NSRC hingga Februari tahun ini, kita menerima 20,881 panggilan melalui talian 997, dengan jumlah kes tulen sebanyak 7,991 dan nilai kerugian berjumlah RM68.5 juta.

"Ini menunjukkan isu scam ini ancaman cukup besar. Sebab itu dalam tempoh setahun, kita harap boleh bentangkan rang undang-undang pindaan Akta 709 (di Parlimen).

"Pada masa sama, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) ada usaha menggubal satu Akta Keselamatan Siber. Selepas sesi libat urus, kita harap akta itu boleh dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat," katanya.

TEO Nie Ching menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini.
TEO Nie Ching menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 2:11 PM