BERNAMA

Kuala Lumpur: Sesi mesyuarat Dewan Rakyat pada sebelah pagi ini 'sepi' tanpa kehadiran ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Isu ketidakhadiran berkenaan dibangkitkan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang tampil mencelah ketika sesi soal jawab sedang berlangsung.

"Tan Sri Speaker, bukan seorang tak hadir, tapi seorang pun pembangkang tidak ada pada hari ini, inilah fiil pembangkang," katanya.

Ia susulan kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul sebelum itu yang membuka peluang agar setiap soalan dalam sesi soal jawab dibenarkan untuk tiga soalan tambahan berbanding dua soalan sebelum ini.

"Oleh kerana kita dapati ramai MP (Ahli Parlimen) tidak hadir, saya akan buka setiap soalan dijawab ini untuk tiga soalan tambahan," katanya.

Sebanyak enam soalan dikemukakan Ahli Parlimen pembangkang yang disenarai dalam aturan urusan mesyuarat tidak dapat kemukakan dan dijawab oleh menteri berkenaan disebabkan ketidakhadiran mereka.

Antaranya soalan daripada Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai isu cukai daripada sektor ekonomi bayangan, Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) berhubung latihan kepada bakal usahawan dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) tentang usaha membanteras kegiatan warga asing yang berniaga.

Bagaimanapun, Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) dilihat mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa sebelum sesi soal jawab tamat.

Difahamkan Ahli Parlimen pembangkang menghadiri Himpunan Selamatkan Syariah di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 1:20 PM