DEWAN Rakyat. FOTO arkib NSTP
DEWAN Rakyat. FOTO arkib NSTP
Fahmy Azril Rosli


WALAU dalam kesibukan sekalipun, sama ada Menteri atau Timbalannya mesti hadir untuk sesi soal jawab di Parlimen.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, dalam hal ini sistem penggiliran adalah penting supaya salah seorang sama ada Menteri atau Timbalannya boleh hadir ke parlimen.

Selain itu, beliau berkata, bagi memastikan tidak timbul masalah 'teknikal' sehingga menyebabkan ketidakhadiran kedua-duanya di Parlimen, pegawai kementerian yang menjaga urusan di Dewan Rakyat perlu tahu jadual mereka.

"Kementerian kena atau mesti pastikan ada menteri atau timbalan hadir untuk jawab soalan (sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat).

"Sehubungan itu, pegawai kementerian yang menjaga urusan parlimen kena tahu jadual menteri dan timbalan.

"Kalau kedua-dua tidak ada sehari sebelum sidang (Dewan Rakyat), (pegawai) kena maklum pada setiausaha parlimen untuk turunkan soalan (kementerian terbabit) ke nombor yang bawah," katanya Ahli Parlimen Pokok Sena itu ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon yang menasihatkan pihak Menteri dan Timbalan Menteri supaya lebih berdisiplin untuk hadir dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat.

Ketidakhadiran Menteri dan Timbalannya mencetuskan kekecohan dalam kalangan wakil pembangkang yang tidak berpuas hati kerana kedua-dua pemimpin itu tidak ada dalam dewan ketika menjawab soalan nombor 13 daripada Ali Biju (PH-PKR Seratok).

Bagaimanapun, soalan itu dijawab oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin mewakili KDN, namun pihak pembangkang tetap tidak berpuas hati terhadap jawatan diberikan.

Bagaimanpun, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman semalam memberi alasan bahawa beliau tidak hadir kerana berlaku masalah 'teknikal.'

Beliau mengakui tidak menyangka giliran soalan bagi sesi jawab lisan dipanjangkan berbanding sebelum ini sambil menambah kebetulan ada acara rasmi dekat kementerian.

Sumber pula memberitahu, Mohd Azis tidak hadir di parlimen kerana terpaksa memenuhi undangan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis penting.

Menurut sumber, jika Timbalan Menteri itu memilih untuk tidak hadir di majlis bersama Menteri mungkin akan menimbulkan situasi 'kurang selesa' antara mereka.

"Tan Sri (Muhyiddin Yassin) jemput (Mohd Azis). (Jadi) Kenalah hadir.

'Semalam program penting juga sebab program yang Tan Sri sendiri mulakan. Nanti Menteri kata apa pula kalau tak pergi," katanya.

Semalam, Muhyiddin hadir di Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Kewarganegaraan di Putrajaya untuk menyerahkan lebih 200 sijil kewarganegaraan.

Majlis itu dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim; dan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Mohammad Razin Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 3:31 PM