David Wong Kee Woan (tiga dari kiri) menyifatkan ahli dewan yang mempamerkan kemahiran berpantun ketika sesi soal jawab hanya membazirkan masa persidangan.
David Wong Kee Woan (tiga dari kiri) menyifatkan ahli dewan yang mempamerkan kemahiran berpantun ketika sesi soal jawab hanya membazirkan masa persidangan.
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Wakil pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menyifatkan ahli dewan yang mempamerkan kemahiran berpantun ketika sesi soal jawab hanya membazirkan masa persidangan.

David Wong Kee Woan (DAP-Pelawan) berkata kerana pantun, masa terbuang sehingga banyak soalan tidak mendapat jawapan lisan daripada menteri kerana DUN Sarawak hanya memperuntukkan masa satu jam sehari untuk sesi soal jawab.

"Hari ini, hanya tujuh soalan yang dijawab kerana semua orang datang dengan pantun dan Menteri juga menjawab dengan pantun.

"Jika ingin berpantun, anda harus melakukannya dalam ucapan atau masa anda sendiri semasa perbahasan, tetapi bukan dalam waktu soal jawab yang hanya sekitar satu jam," katanya pada sidang media di DUN Sarawak.

Kee Woan berkata, lebih 200 soalan disediakan pada setiap persidangan, namun kurang dari 50 dapat dijawab.

Justeru katanya, Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar harus membuat keputusan berhubung perkara itu dan memberi lebih banyak masa untuk menteri menjawab soalan ahli dewan.

Sementara itu, Irene Mary Chang (DAP-Bukit Assek) pula berkata, agak menyedihkan apabila ahli dewan diizinkan lebih banyak masa untuk berpantun namun ada ahli tidak dilayan ketika mengajukan soalan tambahan.

"Semua ahli dewan datang untuk membaca pantun dan ini membuang masa. Soalan saya tidak dijawab dengan sewajarnya.

"Soalan saya amat penting kerana ia membabitkan kepentingan rakyat, tetapi hanya satu daripada dua soalan saya dijawab kerana masa dibazirkan oleh ahli dewan yang mahu berpantun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 3:56 PM