Melati Ladun menjual ikan pada harga yang agak mahal berikutan peralihan monsun. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Melati Ladun menjual ikan pada harga yang agak mahal berikutan peralihan monsun. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Kuala Kedah: Harga ikan dan hasil tangkapan laut meningkat berikutan faktor cuaca akibat peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang menyebabkan laut bergelora.

Kebanyakan peniaga ikan di pelantar ikan Kampung Seberang Kota di sini, mendakwa tangkapan ikan berkurangan sejak dua bulan lalu menyebabkan mereka terpaksa menjual pada harga agak tinggi berbanding biasa.

Peniaga ikan, Melati Ladun, 40, berkata, harga ikan yang dijual sebelum ini antara RM6 atau RM7 sekilogram terpaksa dijual antara RM10 hingga RM12 sekilogram bergantung pada saiz.

Katanya, harga murah RM3 hingga RM4 sekilogram memang ada tetapi saiz ikan terlalu kecil tetapi yang menjadi pilihan pelanggan adalah saiz sederhana dan besar.

"Setiap hari kami jual apa yang nelayan tangkap, ada sedikit dan ada banyak menyebabkan harga tidak sama setiap hari.

"Sudah banyak hari tak ada ikan sebab ramai nelayan tidak turun ke laut disebabkan ombak kuat dan hari ini baru ada ikan nak dijual," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, peniaga, Khadijah Md Syah, 49, berkata, kekurangan ikan berlaku sejak penghujung September lalu sehingga bulan depan.

Katanya, nelayan hanya memperoleh ikan sekadar yang mampu untuk dijual kepada pelanggan dengan harga peraih di situ.

"Mungkin harga ikan di pasar awam lebih mahal dari di pasar ini dan boleh mencecah sehingga RM20 sekilogram bergantung pada saiz ikan.

"Sekarang ini musim sotong candat tetapi dijual antara RM25 hingga RM35 sekilogram disebabkan musim tengkujuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 1:56 PM