DR Abdul Halim (tengah) bergambar bersama peserta ketika Program Cartoon Funwalk 2023 sempena Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia di Hospital Pakar Kanak-kanak UKM, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
DR Abdul Halim (tengah) bergambar bersama peserta ketika Program Cartoon Funwalk 2023 sempena Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia di Hospital Pakar Kanak-kanak UKM, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) aktif melaksanakan program bagi menggalakkan orang ramai terutama badan korporat menyumbang Tabung Kebajikan Pesakit Kanak-kanak yang diperkenalkan sejak awal tahun lalu.

Tabung Kebajikan Pesakit Kanak-kanak itu bagi menampung keperluan pesakit atau waris di HPKK seperti alatan perubatan, ubat-ubatan dan pembayaran bil pesakit yang kurang berkemampuan.

Timbalan Pengarah (Surgeri) HPKK, Prof Madya Dr Abdul Halim Abdul Rashid berkata, pada tahun pertama, tabung itu sudah mengumpul lebih RM200,000 yang memberi manfaat kepada lebih 700 pesakit kanak-kanak.

Jelasnya, HPKK pada awalnya meletakkan sasaran RM500,000 dan berharap dapat mencapai nilai itu menjelang tahun hadapan bagi membantu lebih ramai pesakit kurang berkemampuan.

"Kita di HPKK ini meletakkan matlamat tiada pesakit yang tidak boleh menerima rawatan. Justeru, dengan pelaksanaan tabung ini, ia dapat membantu lebih ramai kanak-kanak yang kurang bernasib baik mampu dirawat.

"HPKK juga berterima kasih kerana banyak badan korporat membantu menjana tabung ini kerana mereka juga peka kepada isu kesihatan kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini," katanya pada Majlis Cartoon Funwalk 2023 sempena Hari Sambutan Kanak-kanak Sedunia Peringkat HPKK di sini, tadi.

Buat julung kalinya Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2023 diadakan di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, HPKK UKM menerusi kerjasama Jawatankuasa Penjanaan Tabung Kebajikan Pesakit Kanak-kanak HPKK dan sumbangan beberapa syarikat korporat Malaysia.

Menerusi program itu, lebih 350 peserta membabitkan kanak-kanak dan ahli keluarga mengambil bahagian. Selain itu itu, peserta juga digalakkan hadir memperagakan pakaian mengikut tema yang diberikan untuk berjalan sejauh h 2.5 kilometer mengelilingi HPKK dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Program itu turut mendapat sokongan tajaan daripada CIMB Bank Bhd, Zecon Medicare Sdn Bhd, Bank Rakyat (M) Bhd,, Affin Bank, Bank Islam (M) Bhd, Petrosains, F&N, Mr. DIY, Gardenia dan minuman kultur kesihatan Yakult dan Vitagen.

Mengulas lanjut mengenai kebanyakan rawatan yang diberikan di HPKK, Abdul Halim berkata, terdapat lima rawatan khusus di hospital berkenaan iaitu kanser kanak-kanak, implan koklea, tulang belakang yang bengkok, kanser dan pembedahan otak.

"Kelima-lima rawatan ini sememangnya menelan belanja yang tinggi antaranya kos implan tulang belakang mencecah RM35,000, implan koklea sehingga RM70,000 dan kanser darah dalam kalangan kanak-kanak perbelanjaan antara RM20,000 hingga RM30,000 kerana kos ubat yang mahal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 4:26 PM