SUASANA ceria di wad HPKK setiap kali tibanya pagi Selasa.
SUASANA ceria di wad HPKK setiap kali tibanya pagi Selasa.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Setiap pagi Selasa, suasana di wad kanak-kanak Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak (HPKK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan bertukar menjadi lebih ceria.

Kehadiran sukarelawan Persatuan Kebajikan Happy Cure Kuala Lumpur yang membawa troli penuh dengan alat mainan, peralatan sekolah, buku, aksesori dan barangan keperluan bayi, barangan penjagaan harian dan gula-gula itu sememangnya ditunggu-tunggu penghuni wad kanak-kanak hospital itu.

Sukarelawan yang diketuai Jess Phang itu akan melawat pesakit kanak-kanak di beberapa wad termasuk wad pediatrik, wad onkologi, wad surgikal, wad isolasi , wad serta jagaan harian untuk memberikan mereka pelbagai hadiah menarik menerusi program 'Tuesday Aunties.'

Istimewanya, setiap pesakit yang kebanyakan daripada golongan berpendapatan rendah B40, bebas memilih sendiri satu hadiah yang mereka mahukan sama ada alat mainan, buku, peralatan sekolah dan sebagainya.

Jika pesakit terbabit masih ada di wad pada Selasa berikutnya, mereka juga tetap akan mendapat hadiah daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan.

Jess berkata, tiada perkataan yang dapat menggambarkan keterujaan mereka apabila melihat wajah-wajah ceria pesakit kanak-kanak yang tidak sabar untuk memilih hadiah masing-masing.

Katanya, biarpun sedang menerima rawatan namun mereka kelihatan bersemangat dan gembira, lebih-lebih lagi dapat memilih sendiri hadiah yang dimahukan dari troli yang disorong.

"Ada yang sehingga 10 minit pun masih berpusing-pusing kerana tidak dapat memilih hadiah yang mereka mahukan.

SUKARELAWAN Happy Cure KL yang menceriakan pesakit kanak-kanak setiap hari Selasa.
SUKARELAWAN Happy Cure KL yang menceriakan pesakit kanak-kanak setiap hari Selasa.

"Malah ada juga pesakit kanak-kanak yang perlu menghadiri Sekolah Dalam Hospital (SDH) meminta penjaga mereka supaya tidak memilih hadiah bagi pihaknya kerana mahu memilih sendiri barangan dimahukan.

"Jika kami terlewat tiba, ada juga (yang mempunyai nombor telefon) meminta penjaga supaya segera menghubungi kami untuk bertanya keberadaan saya dan rakan lain," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Jess lagi, bagi yang sudah lama berada di wad hospital itu, mereka sudah tahu anggaran jam berapa kehadiran sukarelawan berkenaan.

Namun bagi yang baharu, kebiasaannya akan terpinga-pinga melihat kehadiran 'troli' hadiah berkenaan dan malu-malu apabila dipanggil untuk mengambil hadiah.

Katanya, jika tiada kekangan, pesakit kanak-kanak akan diminta bangun dari katil dan keluar mendapatkan sendiri hadiah yang dimahukan dari troli berkenaan (dengan ditemani jururawat atau penjaga).

"Ia secara tidak langsung membolehkan pesakit bergerak dan tidak hanya berada di atas katil sahaja.

MUHAMAD Adam ceria menyambut kehadiran Jess di biliknya.
MUHAMAD Adam ceria menyambut kehadiran Jess di biliknya.

"Biarpun hadiah yang diberikan tidaklah semahal mana namun kami teruja dapat membantu menggembirakan pesakit kanak-kanak di hospital ini.

"Kami percaya, ia bukan sahaja dapat menggembirakan hati pesakit kanak-kanak malah memberi mereka lebih semangat untuk melawan penyakit yang dialami, seterusnya dapat membantu penyembuhan mereka," katanya.

Jelas Jess lagi, Program Tuesday Aunties oleh Happy Cure KL itu sebelum ini diadakan di wad kanak-kanak Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM sejak tahun 2000 sebelum operasinya dipindahkan ke HPKK yang terletak di bangunan baharu bersebelahan dengannya.

Katanya, selain Tuesday Aunties, Happy Cure KL turut mengadakan banyak program kemasyarakatan lain antaranya Happy Seed iaitu membantu menceriakan ruang di wad kanak-kanak HPKK serta The Ark, program sokongan untuk kanak-kanak yang mengalami Autisme dan memupuk kesedaran masyarakat.

"Seperti NGO lain, kami juga perlu mencari dana sendiri untuk mengadakan aktiviti berkenaan. Setakat ini, dana diterima adalah daripada sumbangan orang ramai dan kami sememangnya sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada pihak korporat untuk menjayakan program-program berkenaan.

"Ini kerana, selain HPKK, kami turut berkunjung ke hospital di Kapit, Sarawak, dan Hospital Sungai Buloh," katanya.

PENGHUNI HPKK UKM   tunggu kunjungan sukarelawan Persatuan Kebajikan Happy Cure Kuala Lumpur yang ‘membawa  keceriaan’.
PENGHUNI HPKK UKM tunggu kunjungan sukarelawan Persatuan Kebajikan Happy Cure Kuala Lumpur yang ‘membawa keceriaan’.

Bagi Siti Hajar Jamal, 35, kehadiran sukarelawan itu bersama troli hadiah berkenaan sememangnya ditunggu-tunggu pesakit di wad itu termasuk anaknya, Muhamad Adam Mukhriz Syamil, 7.

Katanya, sejak dimasukkan ke wad akibat masalah paru-paru berair akhir Julai lalu, Muhamad Adam tidak boleh keluar bermain seperti biasa dan hanya berada di katil wad atau belajar di SDH sahaja.

"Pada hari lain, anak kelihatan bosan kerana sudah hampir sebulan berada di wad ini namun menjelang Selasa, moodnya akan berubah menjadi lebih bersemangat dan teruja kerana tidak sabar untuk bertemu Aunty Jess dan mendapatkan hadiah yang dimahukan.

"Melihat raut wajahnya yang tersenyum ceria setiap kali mendapat hadiah pilihan, hilang sekejap gundah gulana di hati saya dan keluarga.

"Terima kasih kepada Jess dan NGO berkenaan kerana inisiatif mereka sedikit sebanyak dapat membantu memberikan keceriaan kepada pesakit kanak-kanak di hospital ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Jururawat Wad Pediatrik 1, Syolehah Abu Hassan berkata, inisiatif itu umpama terapi untuk pesakit kanak-kanak di hospital berkenaan.

Kata Syolehah, mood gembira dan suasana yang ceria sedikit sebanyak dapat membantu proses penyembuhan pesakit.

"Jika pesakit (kanak-kanak) ceria dan gembira, kami (jururawat) juga gembira.

"Apa yang penting, pesakit kanak-kanak yang ada di hospital ini dapat sembuh segera dan kembali ke pangkuan keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 12:00 PM