Kuala Lumpur: Sambutan Syawal dimeriahkan dengan penganjuran program Titipan Kasih Syawal Harian Metro Bersama Tune Protect yang diadakan di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak Kanak UKM (HPKK) di sini, baru-baru ini.
Program ini antara lain bertujuan berkongsi rezeki dan menyantuni serta menceriakan pesakit kanak-kanak dan warga HPKK.
Menariknya, pada program ini penganjur berbesar hati untuk membuat kunjungan ke wad Onkologi, Surgikal dan Perubatan serta pada masa yang sama menyampaikan sedikit sumbangan berupa alat mainan pendidikan dan duit raya kepada kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di situ.
Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian, Tune Protect Group Berhad, Mohd Yusof Hafiz berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tune Protect bersama Harian Metro ini adalah komitmen syarikat dalam menyumbang secara aktif kepada masyarakat.
"Komitmen ini mencerminkan kesedaran Tune Protect sebagai entiti perniagaan yang memberi perhatian kepada isu kesihatan dan keperluan sokongan sosial untuk pesakit di hospital. Selain itu, kami ingin membina kestabilan dalam komuniti setempat dan membina hubungan yang lebih kukuh antara syarikat Tune Protect, HPKK, dan masyarakat setempat.
"Kami sudah menyusun pelbagai program CSR kami sepanjang tahun dan bermula tahun lalu di bulan Ramadan. Pada kali ini, kami memilih untuk mengadakan program sempena Syawal bersama Harian Metro di HPKK bagi berkongsi kemeriahan bulan Syawal dengan penerima manfaat dipilih iaitu pesakit kanak-kanak yang menerima rawatan di HPKK.
"Kami berharap dapat meneruskan dan menjalankan program seperti ini tidak hanya semasa bulan Ramadan atau Syawal, tetapi sepanjang tahun melalui aktiviti CSR yang lain yang sudah kami rancang sepanjang tahun ini," katanya.
Menurutnya, program yang diadakan bukan hanya untuk memberi impak positif kepada kehidupan penerima manfaat, tetapi juga mendorong kakitangan Tune Protect untuk menyertai pelbagai aktiviti CSR syarikat sebagai sukarelawan dan sekaligus dapat menanam semangat berbakti kepada masyarakat dalam diri mereka.
"Menerusi Program ini, seramai 60 sukarelawan Tune Protect turun padang berganding bahu bekerjasama dengan pasukan Titipan Kasih Harian Metro menyediakan pelbagai aktiviti untuk menceriakan semua pesakit yang mendapatkan rawatan sama ada sebagai pesakit luar ataupun dalaman di HPKK ini, termasuk ibu bapa dan penjaga mereka.
"Inisiatif ini selaras dengan komitmen kemampanan kami yang bermula sejak 2022 sehingga tahun ini, iaitu untuk mencapai sasaran 6,000 jam aktiviti CSR dalam tempoh tiga tahun. Kami amat berbangga dengan pencapaian kakitangan kami di mana setakat hujung 2023, kami sudah mencapai 93 peratus daripada komitmen itu," katanya.
Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro Merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Husain Jahit berkata, program Titipan Kasih Syawal ini antara lain bertujuan melahirkan rasa kesyukuran dalam menyambut Aidilfitri dan berkongsi rezeki dengan insan memerlukan.
"Kami di Harian Metro berasa teruja dan berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dengan syarikat perlindungan insuran mampu milik, Tune Protect untuk sama-sama berganding tenaga menyantuni warga hospital dan pesakit kanak-kanak di HPKK ini dan membawa keceriaan dan kemeriahan kepada mereka dalam menyambut Aidilfitri pada tahun ini.
"Syukur Alhamdulillah, kita sudah memasuki bulan Syawal iaitu bulan untuk seluruh umat Islam meraikan kemenangan dengan kegembiraan dan kesyukuran setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan lalu. Sebagai organisasi media yang sentiasa peka dan prihatin dengan permasalahan komuniti setempat, inilah peluang yang perlu kita manfaatkan untuk memberi kembali dan menyumbang kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.
"Sebagai rakan media, kami berperanan menjadi 'jambatan' atau 'penghubung' kepada rakan strategik dengan masyarakat. Alhamdulillah, berkat kemurahan hati dan sokongan padu yang diberikan oleh rakan-rakan korporat seperti Tune Protect, program Titipan Kasih ini yang diperkenalkan sejak 17 tahun lalu masih mampu terus bertahan," katanya.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect Re, Janet Chin; Ketua Pegawai Agensi Tune Protect Malaysia, Vincent Ku; Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect Malaysia, Jubin Mehta; Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad; Pengarang Berita Kanan Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Abd Aziz dan Timbalan Pengarah (Surgeri) HPKK, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abd. Rashid.
Pada program itu, sukarelawan Harian Metro dan Tune Protect turun padang menjalankan aktiviti gotong-royong menghias dan menceriakan suasana Sekolah Dalam Hospital (SDH) dan deko raya di kawasan jamuan makan hari raya.
Selain itu, penganjur turut menyediakan enam 'booth' permainan yang diuruskan oleh sukarelawan untuk pengunjung, terutamanya kanak-kanak mencuba aktiviti permainan yang sambil berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan oleh penganjur.
Pesakit kanak-kanak juga berpeluang untuk bermesra dan bermain dengan badut dan menikmati ais krim yang disediakan.
Tune Protect turut membawa maskot syarikat TP The Thumb bagi menggembirakan kanak-kanak ini.
Lima pembedahan sepanjang 3 bulan
Lima hari selepas dilahirkan, Umar Al-Haqeem Amirul Asyraf dibedah akibat masalah usus dan kini ketika usianya tiga bulan dia sudah menjalani lima pembedahan.
Walaupun berdepan ujian berat ini, ibunya, Siti Mastura Kamarudin yang juga suri rumah, 33, tetap tabah dan terus menjaga anak kesayangannya itu.
"Anak saya perlukan saya untuk 'survive' (bertahan)," katanya ringkas perihal Umar Al-Haqeem.
Katanya yang masih berpantang, anak ketiganya itu disahkan menghidap masalah usus sebaik dilahirkan.
Doktor kemudiannya mencadangkan supaya bayi berkenaan dibedah.
"Walaupun sedih kerana usianya baru lima hari, namun pembedahan itu perlu dilaksanakan.
"Sejak itu, anak terus dipantau malah hospital juga umpama rumah kedua kerana saya berada di sini setiap masa bagi menjaga Umar Al-Haqeem," katanya.
Siti Mastura ditemui pada program Titipan Kasih Syawal Harian Metro bersama Tune Protect di Hospital Pakar Kanak-kanak UKM di Cheras, baru-baru ini.
Siti Mastura menerima sumbangan duit raya serta mainan untuk anaknya.
Menurut Siti Mastura, doktor memaklumkan yang ketika ini, Umar Al-Haqeem dalam tempoh pemulihan dan dia tidak pasti bila bayi berkenaan akan dibenarkan keluar wad.
"Saya berdoa supaya Umar Al-Haqeem segera sembuh dan boleh keluar wad segera.
"Sumbangan duit raya ini pula akan saya gunakan untuk masa depan Umar Al-Haqeem manakala mainan berkenaan akan diserah kepadanya apabila dia sudah sihat," katanya.
Bagi kisah Imran Anuwar yang berusia dua tahun sembilan bulan pula, sepatutnya sambutan Syawal dengan gembira seperti kanak-kanak lain.
Bagaimanapun, sehari sebelum 1 Syawal, dia disahkan menghidap barah saraf.
"Dunia saya rasa gelap apabila doktor mengesahkan Imran menghidap barah saraf.
"Saya hanya memandang wajah Imran dengan penuh simpati serta kasih sayang. Tidak disangka, pada usianya yang sangat muda, dia diuji dengan penyakit sedemikian," kata Anuwar Omar, bapa kepada bayi itu.
"Saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan jika ditakdirkan Imran dijemput Ilahi," katanya sebak.
Ketika ditanya tentang sambutan Aidilfitri baru-baru ini, Anuwar berkata, mereka sekeluarga menyambutnya secara sederhana.
"Waktu tu dah tak fikir pasal Raya dah.
"Saya hanya fokus pada Imran je. Memandangkan Imran masih lemah dan perlukan perhatian yang lebih," katanya.
Anuwar berharap anaknya cepat sembuh dan kembali ceria seperti selalu.