Teh Ai Pey bersama anaknya, Chua Zi Jie yang akan menjalani pembedahan implan koklear yang pertama di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) UKM. FOTO ROHANIS SHUKRI
Teh Ai Pey bersama anaknya, Chua Zi Jie yang akan menjalani pembedahan implan koklear yang pertama di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) UKM. FOTO ROHANIS SHUKRI
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Unit Otorinolaringologi hari ini, buat pertama kalinya menjalani prosedur pembedahan implan koklear pertama di hospital berkenaan sejak ia mula beroperasi dua tahun lalu.

Pembedahan itu dilakukan terhadap seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, Chua Zi Jie yang dikenal pasti mengalami masalah pendengaran sejak berusia 11 bulan.

Pakar Perunding Kanan dan Ketua Unit Otorinolaringologi Prof Dr Goh Bee See yang mengetuai pembedahan itu berkata, implan koklear atau turut dikenali sebagai telinga bionik adalah alat elektronik yang dimasukkan melalui pembedahan bagi memberikan deria bunyi kepada individu pekak atau pendengaran terjejas teruk.

Menurutnya, tujuan utama pembedahan implan koklea adalah untuk menanam elektrod ke dalam koklea di bahagian telinga dalam bagi memastikan bunyi boleh disampaikan kepada otak melalui rangsangan elektrik daripada elektrod ke saraf pendengaran.

"Implan koklea tidak akan mengembalikan pendengaran seperti manusia normal namun kebanyakan pesakit menggambarkannya sebagai bunyi yang mekanikal.

"Bagaimanapun, dengan stimulasi dan amalan yang berterusan, otak akan melakukan penyesuaian terhadap bunyi-bunyi baru.

"Malah, kini pengguna alat prostetik itu mampu berkomunikasi secara normal tanpa perlu membaca pergerakan bibir atau menggunakan bahasa isyarat lagi.

"Menariknya, pengguna implan itu juga kebanyakannya sudah boleh bercakap dan menggunakan telefon," katanya kepada pemberita sebelum menjalani prosedur pembedahan implan koklear di sini, hari ini.

Dr Bee See berkata, UKM melakar sejarah apabila menjadi kumpulan perintis dalam mengendalikan kes implan koklea di rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, Prof Emeritus Datuk Dr Lokman Saim bersama Prof Datuk Dr Abdullah Sani Mohamed dari Jabatan Otorhinolaryngologi, Fakulti Perubatan UKM bekerjasama dengan Prof Dr Siti Zamratol Mai-Sarah Mukari dan Prof Dr Kartini Ahmad dari Fakulti Sains Kesihatan membentuk Pasukan Implan Koklear UKM pada 1994.

"Pada 14 Disember 1995, pembedahan pertama implan koklea berjaya dilakukan oleh pasukan terbabit, manakala pada 2005 bayi berusia 11 bulan menjadi pesakit termuda menjalani pembedahan itu.

"Di UKM, gabungan kepakaran Pasukan Implan Koklea yang terdiri daripada ahli akademik dan para profesional kesihatan termasuk pakar otorinolaringologi, audiologis, terapis pertuturan, pakar kanak-kanak dan ahli profesional sokongan yang lain memberi impak yang besar dalam pengendalian kanak-kanak serta individu mengalami masalah pendengaran di negara dan rantau ini," katanya.

Beliau berkata, Pasukan Implan Koklear UKM juga berjaya menjalankan pembedahan terhadap lebih 600 pesakit yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan sejak 25 tahun lalu yang mana kira-kira 85 peratus adalah daripadanya adalah golongan kanak-kanak.

Sementara itu, ibu kepada Zi Jie, Teh Ai Pey, 42, berkata, anaknya dikesan menghadapi masalah pendengaran ketika berusia 11 bulan apabila mendapati anak tunggalnya itu tidak memberi reaksi kepada sebarang bunyi.

Katanya, dia bawa anaknya ke hospital di kawasan tempat tinggalnya di Batu Pahat, Johor dan anaknya disahkan menghadapi masalah pendengaran dan juga autisme.

"Doktor kemudiannya memasang alat bantuan pendengaran kepadanya namun ia kurang membantu walaupun saya sering membawa anak ke kawasan yang mempunyai banyak bunyi dan menghadiri terapi pertuturan.

"Ketika usianya sudah dua tahun, dia masih belum boleh bercakap membuatkan saya lebih bimbang dengan keadaannya dan mula mencari pakar yang dapat membantu keadaan anaknya," katanya.

Akauntan itu berkata, rakannya kemudiannya memaklumkan berkenaan kepada Dr Bee See dan selepas berjaya mendapatkan janji temu dia amat yakin anaknya dapat mendengar semula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 3:33 PM