ANGGOTA APM Kota Setar membawa mangsa banjir dari Kampung Bukit, Mukim Derang ke PPS. FOTO Bernama
ANGGOTA APM Kota Setar membawa mangsa banjir dari Kampung Bukit, Mukim Derang ke PPS. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Banjir di Perlis telah pulih sepenuhnya, namun jumlah mangsa banjir di Kedah mencatatkan peningkatan setakat 8 malam ini.

Di PERLIS, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Arau yang menempatkan lima mangsa daripada dua keluarga ditutup 2.45 petang tadi dan kesemua mangsa telah dibenarkan pulang.

PPS Dewan SK Arau yang dibuka sejak petang semalam menempatkan mangsa dari Kampung Titi Besi dan Kampung Kebun.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 701 orang daripada 201 keluarga setakat malam ini berbanding 268 mangsa daripada 81 keluarga pagi tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana APM Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa dari daerah Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena itu ditempatkan di tujuh PPS.

"Tujuh PPS itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun, Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang di Changlun, SK Malau, Dewan PPK Lubuk Batu, SK Taman Aman, SK Bukit Hijau dan Maahad Tarbiyah Derang," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri akan memberikan bantuan berupa pek makanan kepada mangsa banjir yang akan diagihkan selepas mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Exco petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 9:50 PM