Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kedudukannya di tengah bandar raya Ipoh menjadikan lokasinya strategik, namun, Pasar Besar Ipoh yang sebelum ini dikenali 'Pasaraya Super Kinta' kini sunyi sepi kerana kebanyakannya hanya dijadikan stor.

Kawasan yang menempatkan lebih 100 premis kedai yang bersambung dengan bangunan pasar dilihat tidak beroperasi sejak sekian lama.

Segelintir peniaga mendakwa keadaan itu berlaku disebabkan rata-rata premis kawasan itu disewa hanya untuk dijadikan stor menyimpan barang berbanding membuka perniagaan seperti biasa.

Peniaga, Muhammad Zulhilmi Mohd Yatin Yazix, 32, berkata, dia pernah membuat permohonan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk menyewa lot kedai di situ sejak tahun lalu.

Katanya, dia berhasrat membuka kedai buku di tingkat atas kawasan itu namun hampa apabila dimaklumkan tiada kekosongan.

"Terdapat notis penamatan perjanjian sewa ditampal pada hampir setiap lot yang didapati kosong atau sentiasa tidak dibuka namun apabila dirujuk kepada pihak berkenaan dimaklumkan tiada.

"Saya percaya kadar sewa yang murah menjadikan lot kedai berkenaan hanya disewa untuk dijadikan stor barangan oleh segelintir pihak," katanya ketika ditemui di sini.

Justeru, Muhammad Zulhilmi mengharapkan tindakan penguatkuasaan lebih tegas dibuat termasuk melakukan pemutihan di kawasan berkenaan bagi menjadikannya kompleks rakyat dan tarikan pelancong.

Malah, katanya, tapisan terperinci perlu dilakukan bagi memastikan premis kedai di situ hanya disewakan kepada mereka yang benar-benar ingin berniaga.

"Agak pelik peniaga hanya menjadikan premis kedai di sini, sebagai stor," katanya.

Seorang lagi peniaga, Muhammad Hafiz Zainuddin, 41, mendakwa sejak berniaga di situ hampir dua tahun lalu dia tidak pernah melihat premis berhampiran dibuka walaupun ada tanda ia mempunyai penyewa.

"Setiap bulan ada sahaja individu datang memungut bil utiliti di premis berkenaan, tetapi tidak nampak ia dibuka.

"Sebab itu saya rasa ia dijadikan stor untuk perniagaan yang dijalankan di lokasi lain.

"Boleh dikatakan ada premis kedai di kawasan ini terbiar sejak bertahun, tetapi nampak seakan tiada tindakan yang sewajarnya diambil pengurusan termasuk oleh MBI selaku pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Seorang lagi peniaga, Ahmad Fuaad Sabudin, 55, berkata, dia sudah berniaga di situ sejak 20 tahun lalu bagaimanapun tidak terlalu terkesan dengan keadaan yang disifatkan sentiasa lengang memandangkan perniagaan kedai jahit diusahakannya banyak bergantung kepada tempahan pelanggan tetap.

Dia turut mengakui sebahagian besar premis di kawasan terbabit khususnya di tingkat atas sentiasa tutup.

"Saya difahamkan ada yang penyewa yang enggan melepaskan semula pemilikan premis yang disewa kepada MBI disebabkan ingin 'menurunkan' premis itu kepada anak atau warisnya.

"Sebab itu ia dilihat sekadar dijadikan stor memandangkan sekian lama tidak dibuka," katanya.


Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 7:00 AM
PASAR Besar Ipoh atau sebelumnya dikenali dengan nama ‘Pasaraya Super Kinta’ terletak di kedudukan strategik di bandar raya Ipoh. Gambar kecil, pemandangan dari luar bangunan berkenaan.
PASAR Besar Ipoh atau sebelumnya dikenali dengan nama ‘Pasaraya Super Kinta’ terletak di kedudukan strategik di bandar raya Ipoh. Gambar kecil, pemandangan dari luar bangunan berkenaan.